"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menjelang PRU16: PAS akan bincang kesan politik Perlis, kerjasama Bersatu

Mohamad Fadli

KUALA LUMPUR: PAS akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan kesan isu politik di Perlis termasuk kerjasama dengan Bersatu, kata Naib Presiden Mohd Amar Abdullah.

Amar berkata isu berkenaan masih belum dibincangkan secara rasmi memandangkan pelantikan Ketua Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah sebagai menteri besar menggantikan Adun Sanglang Shukri Ramli daripada PAS baru berlaku semalam.

“Saya percaya mungkin akan ada mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk membincangkan apa yang berlaku di Perlis.

“Tindakan susulan parti akan putuskan,” katanya apabila diminta mengulas sama ada PAS akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan perkembangan politik di Perlis.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada satu majlis di Lembah Pantai.

Kemelut menteri besar Perlis bermula apabila lapan Adun Perikatan Nasional (PN) menyerahkan akuan berkanun yang memaklumkan mereka tidak lagi menyokong Shukri, termasuk tiga dari PAS iaitu
Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji), menyebabkannya mereka terhenti keahlian.

Selain Abu Bakar, Adun Bersatu yang didakwa terlibat ialah Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).

Penarikan sokongan Adun terbabit dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN, yang dikuasai PN, untuk terus menjadi menteri besar.

Shukri meletak jawatan menteri besar Perlis pada Khamis, atas faktor kesihatan.

Amar turut mempersoalkan bagaimana Bersatu tidak mengetahui lima Adun daripada parti itu menarik sokongan terhadap Shukri.

“Kalau betul tak ada arahan, maknanya lima orang ini sudah langgar mandat parti,” katanya mengulas kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu pada Sabtu berkata tiada arahan dikeluarkan kepada lima Adun Bersatu untuk menarik balik sokongan terhadap Shukri.

Menurutnya, Bersatu hanya menyembah maklum nama calon menteri besar daripada parti itu selepas menerima titah daripada Istana Perlis.

Amar turut mengulangi pendirian PAS yang tidak boleh menerima tindakan sedemikian sambil menegaskan: “Itu bukan setia kawan. Kita tak ambil kesempatan atas masalah kawan. Jangan tengok kawan lemas, biar lemas. Kita kena tolong,” katanya.

Menurutnya, kekecewaan disuarakan pemimpin PAS di media sosial usai pelantikan Abu Bakar sebagai perkara biasa yang terpulang kepada orang ramai membuat kesimpulan.

“Baik luahkan dari simpan dalam hati. Kalau simpan lagi masalah,” katanya yang membuat hantaran ‘Apakah retak menanti belah’ di Facebook.

“Terpulang kepada masing-masing nak tafsir macam mana.”

Tiada ulasan: