BHarianonline
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya lapan pekerja maut manakala tujuh lagi cedera dalam satu letupan yang mencetuskan kebakaran besar di sebuah kilang mercun di Andhra Pradesh, selatan India semalam, menurut polis.
Tragedi berlaku di kampung Kailasapatnam, daerah Anakapalli yang terletak kira-kira 303 kilometer (km) di timur laut Amaravati, ibu kota Andhra Pradesh.
Mereka yang cedera dibawa ke hospital terdekat untuk rawatan lanjut, kebanyakannya dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk kehilangan anggota badan.
Polis berkata, siasatan awal mendedahkan kebakaran bermula di bahagian stor simpanan bahan letupan dan merebak pantas ke seluruh kilang hingga mengakibatkan beberapa pekerja terperangkap.
Menurut penduduk tempatan, letupan yang berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari itu berpunca daripada longgokan besar mercun yang terbakar sehingga memusnahkan keseluruhan kilang dan hanya meninggalkan tapak yang rata.
Setakat ini, enam maut di lokasi kejadian, diikuti dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Dua pekerja yang cedera parah dimasukkan ke Hospital King George di Vizag.
Ketika letupan berlaku, seramai 15 pekerja berada di dalam kilang berkenaan.
Stok mercun berkenaan difahamkan adalah persediaan awal bekalan sempena musim perayaan dan majlis perkahwinan tidak lama lagi.
Kilang berkenaan juga menggajikan lebih ramai pekerja bagi meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang tinggi sepanjang musim perkahwinan.
"Bekalan mercun itu terbakar dan dalam beberapa minit sahaja, seluruh unit hanya tinggal runtuhan," kata seorang pegawai polis.
Sementara itu, menurut pegawai kanan bomba, D Niranjan Reddy, punca letupan dan kebakaran itu dipercayai akibat kesilapan manual dalam proses pembuatan.
Kemalangan akibat letupan adalah kejadian biasa di kilang dan kedai mercun di India kerana pemiliknya sering mengabaikan piawaian keselamatan. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan