FMT Reporters
PETALING JAYA: Pekerja penyelenggaraan maut atas menara pencawang telekomunikasi setinggi 60m, dalam kejadian dekat Jalan Jelai- Pasir Besar, Tampin.
Dalam kejadian 5.15 petang semalam, mangsa berusia 31 tahun hanya dapat dibawa turun sekitar empat jam kemudian.
Ketua Polis Tampin Amiruddien Sariman, berkata pihaknya menerima laporan memaklumkan seorang lelaki dari sebuah syarikat telekomunikasi tidak sedarkan diri di atas menara itu.
“Berdasarkan maklumat itu, pihak polis dan bomba ke lokasi kejadian dan mendapati ada seorang lelaki berada pada paras ketinggian 60m di atas pencawang itu,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, bomba berusaha menyelamatkan mangsa dengan memberikan bantuan pernafasan, namun tidak berjaya dengan mayat dibawa turun pada 9.20 malam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Jelai.”
Amiruddien berkata, sebelum kejadian mangsa dipercayai memanjat pencawang seorang diri, manakala rakannya masih berada di bawah.
Katanya, mangsa sempat memberitahu rakannya dia penat dan rasa kebas di tangan, selain mengadu tidak larat turun dari pencawang berkenaan.
Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat sebagai mati mengejut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan