FMT Reporters
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) Sabah akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN seterusnya (PRN17), kata pengerusinya Bung Moktar Radin.
Bung yang juga ketua Umno Sabah itu berkata, perkara itu dimuktamadkan pada pemukiman parti itu pada akhir tahun lepas.
Menurut Bung, perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin PH Sabah juga sudah beberapa kali diadakan dan akan disusuli perbincangan secara rasmi dalam masa terdekat.
“Dalam sambutan Hari Raya ini pun banyak desas-desus yang kita dengar dan bertanya Umno Sabah bergabung dengan siapa. Saya kata kita memang bergabung tetapi kita belum maklum.
“Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa Umno Sabah telah mengadakan pemukiman pada satu ketika dan kita memutuskan bahawa akan bergabung dengan PH,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kota Kinabalu, lapor Berita Harian.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, selain PH, BN juga terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain yang ada keinginan, kesungguhan dan kesetiaan dalam membentuk kerjasama, namun menegaskan enggan bekerjasama dengan parti tempatan, didorong isu tertentu.
“Kita akan pertimbangkan untuk bergabung dengan parti lain dan saya melihat walaupun isu-isu dimainkan oleh pihak-pihak parti lain bahawa parti tempatan perlu diutamakan, tetapi sebetulnya kita pun ada isu (dengan parti tempatan),” katanya tanpa merujuk mana-mana parti.
Bung bagaimanapun enggan mengulas sama ada Warisan juga akan menjadi rakan kerjasama BN-PH nanti.
Berhubung agihan kerusi, beliau berkata Umno-BN mahu mengekalkan 41 kerusi yang ditandingi pada PRN16, dengan parti mempunyai paling ramai penyokong akan mendapat lebih banyak kerusi.
“Keutamaan kita, parti yang rasa-rasanya mempunyai banyak penyokong, itu yang kita bagi peluang. Sebab pilihan raya ini perlu menang, bukan hanya perlu kuota,” katanya.
Bung yang merupakan Adun Lamag turut mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi itu pada PRN17 nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan