Malaysiakini
Penyebaran video janji ‘duit raya’ dalam pemilihan cabang PKR menimbulkan kebimbangan berkaitan dakwaan politik wang dalam parti itu.
Bekas pemimpin PKR Wilayah Persekutuan dan cabang Batu Rozan Azen Mat Rasip menimbulkan kebimbangan itu susulan penyebaran video kira-kira seminit berkaitan dakwaan itu.
“Saya sebagai ahli PKR cabang BATU selama 21 tahun sejak tahun 2004 amat kecewa dengan peristiwa yang telah merosakkan imej dan nama baik cabang Batu, apatah lagi parti PKR yang menolak budaya rasuah dalam usaha Reformasi telah berlaku sebaliknya sedemikian dalam pemilihan parti oleh pihak tidak bertanggungjawab ini secara jelas,” katanya.
Rozan berkata demikian dalam kenyataan hari ini.
Rozan Azen Mat Rasip
Penyandang P Prabakaran, yang juga anggota parlimen Batu, dicabar oleh peguam Asheeq Ali yang juga bekas aktivis mahasiswa.
Video yang kelihatan seperti dirakam secara rahsia itu antaranya memaparkan seorang wanita memberi wang dan meminta mengundi pasukan “YB Praba”, termasuk dirinya dalam pemilihan PKR, 19 April.
Wanita muda itu berkata duit raya RM100 akan diberikan sebelum mengundi dan RM100 lagi semasa mengundi.
“Kalau kita menang ada jackpot, jangan risau,” katanya lagi.
Dalam kenyataan hari ini, Rozan berkata dia terkilan selepas menonton video itu “yang jelas memaparkan tawaran rasuah”.
“Saya menggesa pihak terbabit tampil menyerahkan diri atas perlakuan salah, melanggar peraturan pemilihan dan tidak beretika moral ini.
“Ini selain saya memohon pihak JPP Pemilihan PKR melakukan siasatan segera manakala Biro Disiplin (PKR) haruslah mengambil tindakan sekeras-kerasnya atas pelanggaran tatakelola peribadi jijik ini,” katanya.
Malaysiakini difahamkan Rozan dalam proses membuat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan PKR.
Prabakaran nafi
Sementara itu, Prabakaran dalam kenyataan menafikan penglibatannya.
“Saya ingin menafikan perbuatan tersebut sepenuhnya oleh kerana tiada arahan khusus yang dikeluarkan oleh saya kepada mana-mana anggota pasukan sama ada di peringkat cabang mahu pun sayap-sayap parti,” katanya.
“Melihat kepada video tersebut, satu dakwaan mengatakan saya akan memberi token pada majlis berbuka puasa bersama pengundi.
“Hal tersebut sama sekali tidak berlaku dan tiada dalam jadual pasukan saya.”
Bagaimanapun, Prabakaran berkata dia terbuka untuk memberi kerjasama penuh dengan pihak JPP untuk menjalankan siasatan lanjut.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan wanita dalam video itu serta PKR berkaitan dakwaan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan