Bernama
Seorang doktor di sebuah klinik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap pembantu klinik, Sabtu lepas.
Dr Mohd Rafi'uddin Hamidon, 35, didakwa merogol wanita berusia 21 tahun itu di dalam bilik stor di sebuah klinik di Pantai Dalam di Kuala Lumpur, antara 4 pagi hingga 5 pagi, pada 15 Mac lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 375 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama pada tempat, masa dan tarikh serupa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan alasan kesalahan itu adalah serius dan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Dr Mohd Rafi'uddin memohon supaya jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menanggung isteri serta tiga anak termasuk seorang bayi yang baru lahir.
"Pihak kami juga tidak membantah sekiranya syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh," kata peguam itu.
Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh membenarkan lelaki itu diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri sebulan dua kali di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 23 April ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan