Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Paya Linda Yahya
am@hmetro.com.my

KAKITANGAN Perhilitan diserang gajah liar ketika melakukan siasatan di lokasi kejadian serangan gajah di Laloh, Kuala Krai.
Kuala Lumpur: Seorang penduduk wanita dan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) cedera parah akibat diserang gajah liar dalam dua kejadian berasingan semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, serangan gajah liar itu berlaku pagi kelmarin di kawasan penempatan Laloh, Kuala Krai, Kelantan.
Menurutnya, pihak Perhilitan Daerah Kuala Krai terlebih dahulu menerima aduan berhubung kejadian serangan gajah liar yang mencederakan seorang penduduk di kawasan belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh, Kuala Krai.
"Kejadian serangan terhadap mangsa wanita itu berlaku berhampiran rumahnya.
"Susulan itu kakitangan dan pegawai Perhilitan Daerah Kuala Krai hadir ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, semasa siasatan dilakukan, gajah liar itu dikatakan bertindak agresif dengan menyerang kakitangan Perhilitan.
"Akibatnya kakitangan Perhilitan itu mengalami kecederaan pada lutut kaki kanan akibat di tusuk gading gajah liar itu.
"Susulan itu mangsa berusia 40 tahun dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Ismail Petra, Kuala Krai untuk menerima rawatan.
Sementara itu sumber memaklumkan, mangsa wanita dikenali sebagai Zainab turut mengalami kecederaan parah susulan serangan yang berlaku sekitar jam 9 pagi itu.
Kali terakhir serangan gajah mengorbankan nyawa dilaporkan berlaku pada Oktober tahun lalu apabila seorang warga emas, Musa Ahmad, 65, ditemui maut akibat diserang dan dipijak sekumpulan gajah liar di Kampung Basung, Kuala Berang, Terengganu.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa cedera di kepala, dada dan tangan akibat tekanan objek berat, dipercayai akibat dipijak gajah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan