Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my
Melaka: Remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan meninggal dunia di bilik air rumahnya di Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini, semalam.
Menurut sumber, pihak berkuasa menerima laporan berhubung kematian mengejut pelajar lelaki itu jam 1.40 tengah hari daripada Hospital Melaka.
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu bapanya selepas mereka pulang ke rumah jam 11.30 pagi.
"Difahamkan ibu bapa mangsa terdengar bunyi percikan air dari bilik air sebelum mendapati pintu bilik air berkunci dari dalam," katanya.
Menurut sumber, mangsa tidak memberi sebarang respons walaupun dipanggil beberapa kali oleh ibu bapanya.
"Bapa mangsa terpaksa memecahkan pintu bilik air dan mendapati anaknya dalam keadaan terlentang sebelum mengeluarkannya dan menghubungi talian kecemasan.
"Setibanya di hospital, pihak perubatan menjalankan bantuan pernafasan (CPR) selama kira-kira 30 minit, namun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.17 tengah hari," katanya lagi.
Mayat kemudian dirujuk ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kes berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan