"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS bantah menghadkan tempoh jawatan PM?: Bantahan yang pelik dan memualkan

Mohsin Abdullah

Adakah PAS bantah mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri semata-mata kerana cadangan dikemukakan DAP?

Terus terang saya katakan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri adalah sesuatu yang baik. Bagus untuk negara bagus untuk rakyat selaras amalan demokrasi. Kesimpulannya ia menghalang wujud keinginan untuk overstay his or her welcome.

Langkah itu menghalang keinginan terus kekal dalam jawatan walaupun sudah tidak cekap dan tidak mampu bertugas dengan sempurna. Paling bagus ia menghalang wujudnya diktator. Ini antara kebaikannya.

Jadi mengapa PAS tidak setuju? Ini memelikkan. Bantah perkara yang bagus dan guna pula sentimen agama dan bangsa sebagai alasan. Ini memualkan.

Adakah semata-mata kerana cadangan dikemukakan oleh DAP, lalu PAS terus melihatnya menerusi kaca mata perkauman dan keagamaan?

Dalam ucapan dasar pada Kongres Kebangsaan DAP baru-baru ini Setiausaha Agung Anthony Loke menyuarakan harapan dalam tempoh dua tahun mendatang kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun. Ertinya dua penggal.

Sebenarnya cadangan ini bukan sesuatu yang baru. Ia pernah diangkat sebagai antara agenda reformasi Pakatan Harapan. Anwar Ibrahim yang hadir semasa Loke berucap menjelaskan kemudian (menerusi taklimat harian PMO oleh setiausaha akhbar kanan) cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri adalah seiring visi dan kerangka dasar yang ditekankan beliau dalam gagasan ‘Membangun Negara Madani’.

Langkah tersebut antaranya bagi mengelak berlakunya pemusatan kuasa yang berisiko menjadi ruang penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa. Banyak negara sudah lama mengambil pendekatan begitu. Dalam aspek ini Malaysia ketinggalan.

Tetapi Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden memilih untuk menyifatkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri sebagai percubaan golongan minoriti menentukan nasib golongan majoriti. Jelas mesej Afnan ialah orang bukan Melayu yang minoriti mahu menentukan nasib orang Melayu yang majoriti.

Mungkin beliau tidak sedar cadangan itu bukan diilhamkan hanya oleh DAP lalu beliau kata apa yang beliau kata. Bagi saya kalau benar pun cadangan asal DAP apa salahnya? Siapa yang mencadang bukan masalah asalkan cadangan bagus.

PAS semakin minat main sentimen keagamaan dan perkauman. Parti itu bantah cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan kerana kononnya orang bukan Melayu (baca: Cina) akan menguasainya lantas membelakangi orang Melayu. Ia bantah cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar kerana mendakwa ia cara halus mengusir orang Melayu miskin (kali ini dirangkul masyarakat India supaya tidak kelihatan Malay-centric dan untuk tunjuk sifat kepelbagaian) dari kawasan bandar.

Penolong Setiausaha Agung PAS Syahir Sulaiman cuba melembutkan pendirian partinya berhubung isu tempoh jawatan perdana menteri dengan beri isyarat PAS boleh berbincang. Menerusi catatan ringkas di media sosial, beliau berkata: “Hadkan (tempoh) perdana menteri dua penggal boleh dibincangkan. Tetapkan (syarat) perdana menteri mestilah beragama Islam, boleh kita turut bincangkan.”

Tiada siapa sama ada DAP atau pihak lain yang mahu tempoh jawatan perdana menteri dihadkan bercakap mengenai soal agama ataupun bangsa seseorang perdana menteri. Bak kata Anwar roh dan sifat jawatan perdana menteri itu sendiri sudah terang lagikan bersuluh, seperti mana termaktub dalam Perlembagaan. Maka bagi saya syarat yang ditetapkan Syahir itu bukan suatu isu.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga tersalah tembak. Beliau menolak ‘cadangan DAP’ mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kerana ia ‘membelakangi ketetapan Allah’. Jelas beliau juga melihat cadangan itu berasal daripada DAP.

Beliau menyelar pihak yang berlumba-lumba memberi sambutan positif terhadap ‘pendirian DAP’ seolah-olah “lupa, jahil atau tidak mempedulikan dasar lebih penting iaitu mencapai wawasan dunia dan akhirat yang mengikut ketetapan Allah yang Islam memimpin negara”.

Saya rasa Hadi lari daripada topik. Isunya lain tapi reaksi beliau pula mengenai perkara lain. Isunya seorang perdana menteri tidak boleh duduk dalam jawatan lebih 10 tahun. Hadi bercakap soal Islam memimpin negara. Saya ulangi penjelasan PMX “roh dan sifat jawatan perdana menteri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan”. Jelas dan nyata penjelasan itu.

Sebenarnya mengehadkan tempoh jawatan tertinggi dalam sesebuah pertubuhan termasuk parti politik sudah lama dan banyak dikuatkuasakan untuk kebaikan parti dan untuk elak wujud pemimpin kuku besi. Maklumlah apabila seseorang sudah menikmati kuasa untuk sekian lama pemimpin baik pun boleh berubah jadi tidak baik. Kita sering dengar “power corrupts, absolute power corrupts absolutely“.

PKR dan Amanah ada peruntukan dalam perlembagaan parti yang mengehadkan tempoh jawatan presiden masing-masing kepada tiga penggal. DAP mengehadkan tempoh jawatan nombor satu mereka iaitu setiausaha agung juga kepada tiga penggal.

Umno antara parti tidak ada had tempoh jawatan presiden. Begitu juga PAS. Presiden tidak terikat dengan jangka waktu. Boleh jadi presiden selagi rasa boleh dan selagi mahu.

Tiada ulasan: