"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengkhianat: Pegawai imigresen didakwa 22 tuduhan terima suapan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pegawai Jabatan Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas 22 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM47,600 antara 2018 dan 2021.

Tertuduh, Kamarul Amilin Zainal Ariffin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie, lapor Berita Harian.

Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga 10, tertuduh yang bertugas di Bahagian Penguatkuasa dan Risikan Temerloh, ibu pejabat Imigresen Pahang, didakwa menerima suapan antara RM900 dan RM3,000 daripada dua individu.

Semua suapan berjumlah RM15,800 itu sebagai dorongan mendedahkan maklumat operasi serbuan Imigresen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Temerloh antara 28 Mac 2018 dan 30 September 2021.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan 11 hingga 22, Kamarul Amilin menerima sesuatu benda berharga iaitu wang antara RM1,000 dan RM5,000 yang dipindahkan secara dalam talian di bank sama tanpa balasan daripada dua individu yang diketahui mempunyai hubungan kerja rasmi dengan tertuduh bermula 2 Januari 2018 sehingga 8 November 2021, berjumlah RM31,800.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Pahang Kamariah Seman yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan berjumlah RM20,000.

Bagaimanapun, peguam Syed Azimal Syed Abu Bakar memohon jumlah itu dikurangkan.

Sazlina kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Beliau turut menetapkan 29 April untuk sebutan semula kes.

Tiada ulasan: