Bernama
BAGAN DATUK: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses pelbagai jenis dadah dengan penangkapan tiga lelaki tempatan dalam tiga serbuan berasingan di Perak dan Lembah Klang pada Rabu lepas.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata pihaknya menahan suspek pertama berusia 47 tahun di sebuah rumah papan dalam kawasan ladang kelapa sawit di Ulu Bernam, Bagan Datuk, kira-kira 10.20 malam.
“Semasa serbuan, suspek sedang memproses dadah jenis ketamin di dalam rumah yang disewa dan dijadikan makmal haram sejak tiga bulan lalu.
“Hasil pemeriksaan dalam rumah tersebut berjaya menemui dadah jenis ketamin dan syabu dengan anggaran berat masing-masing 27.05kg dan 1.8kg serta cecair dadah jenis ketamin seberat 40 liter,” katanya pada sidang media di perkarangan IPD Bagan Datuk.
Pihaknya turut menahan dua suspek kira-kira 11.30 malam pada hari yang sama di dua rumah berasingan di Sentul, Kuala Lumpur, dan Batu Caves, Selangor. Suspek masing-masing berusia 44 dan 42 tahun.
Polis turut merampas peralatan memproses dadah, pelbagai jenis bahan kimia serta dua kenderaan dalam serbuan berkenaan.
“Nilai keseluruhan rampasan, termasuk dadah dan kenderaan, dianggarkan berjumlah RM1.7 juta.
“Dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 232,500 penagih dan dipercayai untuk pasaran di sekitar Perak dan Lembah Klang,” katanya, sambil menambah bahawa hasil ujian saringan mendapati kesemua suspek negatif dadah.
Sindiket ini dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dan semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Mereka direman selama seminggu sehingga 19 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
“JSJN akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih bebas agar mereka dapat diheret ke muka pengadilan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan