MPPD beri lesen sementara untuk 'Pakcik Petai' terus berniaga
Mohd Khidir Zakaria
PORT DICKSON: Isu viral membabitkan 'Pakcik Petai' dengan penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang tercetus berhampiran sebuah pasar raya di sini, sudah diselesaikan dengan baik
Malah MPPD turut bersetuju untuk mengeluarkan lesen sementara kepada 'Pakcik Petai' bagi membolehkan lelaki itu menjalankan perniagaannya secara sah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dr G Rajasekaran bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Hasnor Abd Hamid sudah bertemu penjaja petai, Mohd Noor Saad, di rumahnya di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang di sini malam tadi.
Dalam pertemuan itu, Rajasekaran turut menyampaikan sumbangan mewakili Menteri Besar merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun sebagai ganti rugi petai yang tidak dapat jual semalam.
Beliau berkata, MPPD juga bersetuju untuk mengeluarkan lesen sementara kepada 'Pak Cik Petai' bagi membolehkannya menjalankan perniagaan secara sah.
Pegawai penguat kuasa MPPD yang turut bersama dalam pertemuan itu bersalaman dengan Mohd Noor sebagai tanda penyelesaian isu terbabit.
Rajasekaran berkata, beliau berharap isu berkenaan sudah selesai selepas kedua-dua pihak saling bermaafan.
"Pertemuan ini dapat meredakan ketegangan dan memberikan penyelesaian yang adil kepada semua pihak dan pihak MPPD juga akan terus memantau situasi bagi memastikan tiada lagi isu seumpama ini berlaku pada masa hadapan.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan isu ini secara diplomasi dan mesra.
"Semoga kejadian ini dapat dijadikan pengajaran dan panduan untuk menangani isu-isu komuniti dengan lebih baik pada masa akan datang," katanya yang turut berkongsi pertemuan itu di Facebook malam tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan