Hidir Reduan Abdul Rashid
Seorang ibu berusia 47 tahun memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didakwa enggan membuang status Islam daripada MyKad dua anaknya.
Wanita kelahiran Muar itu berhujah kedua-dua anaknya dilahirkan sebelum Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengesahkan dia sebenarnya tidak pernah menjadi seorang Muslim.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, wanita berkenaan menjelaskan kedua-dua anaknya dilahir pada 11 Mac 2009 dan 1 Mac 2012 hasil hubungannya dengan seorang lelaki Hindu, yang akhirnya dikahwininya dua tahun lalu.
Mahkamah Syariah sahkan dia tak pernah Muslim
Dalam afidavitnya yang dilihat oleh Malaysiakini, ibu itu berkata pada tahun 2017, dia membawa kesnya ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengisytiharan dia tidak pernah menjadi seorang Muslim. Mahkamah akhirnya membenarkan permohonannya pada 23 Mei 2023. Enam bulan selepas keputusan itu, dia berkahwin dengan suaminya.
Bagaimanapun, dia mendakwa isu bermula tahun lalu apabila JPN didakwa enggan membenarkan permohonannya untuk mengubah status agama anak-anaknya dalam MyKad mereka.
Pemohon menyoal tindakan JPN yang tidak mempunyai masalah untuk mengubah MyKadnya sendiri dengan membuang status Islam serta menukar namanya daripada nama Islam kepada nama Hindu, selaras dengan keputusan Mahkamah Syariah.
Dia menegaskan tindakan JPN menolak permohonannya untuk mengubah MyKad anak-anaknya satu pelanggaran terhadap haknya untuk menentukan agama anak-anaknya yang masih di bawah umur 18 tahun. Hak ini dilindungi oleh Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.
"Oleh demikian, saya sesunguhnya menyatakan bahawa keputusan-keputusan Responden Pertama adalah tidak munasabah sama sekali.
"Mahupun rasional apabila Responden Pertama telah gagal untuk memberikan kesan sepenuhnya kepada hak saya di bawah Perlembagaan Persekutuan, terutamanya di bawah Perkara 12 (4),” katanya dalam tindakan undang-undang yang difailkan terhadap JPN, menteri dalam negeri dan kerajaan persekutuan.
Peguam ibu tersebut, Rajesh Nagarajan ketika dihubungi Malaysiakini menegaskan hak anak guamnya untuk menentukan agama anak-anaknya hak perlembagaan yang tidak boleh dipertikaikan.
"Tidak kira apa agamanya, hak itu adalah hak perlembagaan dan tidak boleh dinafikan," kata peguam itu.
Sementara itu, Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), yang lazimnya mewakili ketiga-tiga responden dalam kes-kes serupa sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan