Budak warga Singapura maut, kereta dirempuh pemandu lori positif dadah
Bernama
Mangsa tercampak keluar dari kereta sebelum disahkan meninggal dunia pada 3 pagi tadi.
Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas dirempuh lori dalam kejadian di Kilometer 2.4 Jalan Pantai menghala ke Permas Jaya, malam tadi. (Gambar PDRM)
JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura berusia tujuh tahun maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 2.4 Jalan Pantai menghala ke Permas Jaya di sini, malam tadi.
Difahamkan mangsa bersama ibu, bapa dan adiknya serta seorang pembantu rumah.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata kejadian pada 10.34 malam itu melibatkan kereta yang dinaiki empat warga Singapura dan seorang warga Indonesia berumur antara dua hingga 44 tahun, manakala pemandu lori iaitu lelaki tempatan berumur 57 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori dari arah Masai menghala ke pusat bandar telah hilang kawalan lalu terbabas hingga memasuki lorong bertentangan sebelum melanggar kereta yang dinaiki kelima-lima mangsa.
“Akibat kemalangan itu, kanak-kanak tersebut yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar dari kereta,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Polis Daerah Johor Bahru Selatan hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah menerima makluman bahawa kanak-kanak itu telah disahkan meninggal dunia pada 3 pagi tadi, ketika menerima rawatan di sebuah hopital swasta manakala mangsa lain yang turut cedera dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
Raub berkata pemandu lori telah ditahan dan hasil semakan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine selain tidak mempunyai lesen memandu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 26(1) APJ 1987, Seksyen 56(1) APJ 1987 dan Seksyen 15(1) APJ 1987 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan