Malaysiakini
Pendakwah bebas Firdaus Wong mendakwa dia menerima ugutan bunuh susulan beberapa hantaran di laman sosialnya yang mempersoalkan kewujudan kuil Hindu di tapak milik pihak swasta.
Firdaus Wong berkata dia akan membuat laporan polis berkenaan ugutan itu selepas solat Jumaat hari ini.
“Saya bercakap soal undang-undang tentang pembinaan kuil haram sebagaimana dilaporkan media dan kajian tetapi mereka pula beremosi tanpa fakta sehingga membuat ugutan bunuh,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu sebuah kuil Hindu dilaporkan akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid.
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur itu dilaporkan berusia 130 tahun.
Ia menjadi isu hangat dan hari ini, PSM mencadangkan agar masjid dibina bersebelahan dengan kuil tersebut.
Mengulas lanjut, Firdaus menegaskan dia tidak gentar dengan ugutan yang diterimanya dan menasihatkan semua pihak agar tidak mengambil tindakan sendiri membelakangkan undang-undang.
Dia juga menekankan sebagai orang Islam, adalah lebih baik jika perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Apa jua yang berlaku, sahabat teruskan menyokong usaha dakwah,” katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Firdaus untuk maklumat lanjut mengenai laporan polisnya dan sedang menunggu maklum balas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan