FMT Reporters
Dadah jenis syabu itu dipercayai berasal dari Iran dan dalam perjalanan ke Australia.
Operasi bersama antara Bukit Aman dan polis Australia membawa kepada rampasan 166 tong drum berisi dadah jenis syabu di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Polis merekodkan kejayaan terbesar dalam menggagalkan cubaan penyeludupan dadah antarabangsa apabila merampas 33.2 tan dadah jenis syabu di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 25 Jan lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mat Zani @ Mohd Sallahuddin Che Ali berkata syabu itu dianggarkan bernilai RM1.062 bilion.
Katanya, dadah itu dirampas selepas pihaknya menyerbu sebuah gudang di pelabuhan berkenaan, dan menemukan 166 tong drum berisi bahan larangan itu di dalam dua kontena.
“Pemeriksaan terhadap kedua-dua kontena masing-masing menemukan 83 tong dram berwarna biru bertulisan Paraffin Wax 3-5% mengandungi pepejal mampat berwarna putih kekuningan disyaki dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang media di Balai Polis Port Klang, lapor Bernama.
Mat Zani berkata kontena itu didaftarkan sebagai bahan-bahan memproses barangan kosmetik dan juga lilin. Ia dipercayai dari Iran sedang dalam perjalanan ke Sydney, Australia.
Beliau berkata operasi itu adalah hasil perkongsian maklumat polis Australia dengan Bukit Aman, dan ia kejayaan terbesar polis dalam menggagalkan cubaan penyeludupan dadah antarabangsa.
“Kami percaya dadah yang boleh digunakan oleh 166 juta penagih ini juga adalah untuk pasaran Australia,” katanya.
Menurutnya, Bukit Aman meneruskan kerjasama dengan polis Australia bagi mengenal pasti sindiket atau organisasi yang terlibat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan