Predeep Nambiar
PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook muncul sebagai pemenang terbesar dalam pemilihan parti hari ini, apabila desakan beliau supaya kepimpinan dikemudi generasi ketiga membuahkan hasil, menurut penganalisis.
James Chin dari Universiti Tasmania berkata Loke berjaya menampilkan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang lebih muda dan majmuk, manakala Lim Guan Eng tersadung apabila ramai sekutunya gagal mendapat jawatan tertinggi.
Chin berkata pengaruh Guan Eng semakin berkurangan apabila penyokong utama beliau kalah, termasuk adiknya, Lim Hui Ying.
“Dia yang paling rugi pada malam itu,” kata penganalisis politik itu kepada FMT.
“Kempen terhadap keluarga Lim berjalan dengan baik. Anda boleh lihat adik dan penyokong teras kuatnya tidak menang.”
Guan Eng dipilih semula ke CEC di sebalik kempen untuk menyingkir beliau daripada jawatankuasa itu.
Namun, bekas menteri kewangan itu hanya menduduki tempat ke-26 daripada 30 calon teratas dari segi undian, dengan 1,719 undi.
Sidang CEC kemudian melantik beliau sebagai penasihat manakala Gobind Singh Deo, yang mengungguli persaingan, mengambil alih jawatan pengerusi.
Menurut Chin, keputusan pemilihan CEC kali ini menyaksikan kepelbagaian yang lebih baik, apabila calon Melayu dan Malaysia Timur terpilih ke saf kepimpinan tertinggi.
Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman peroleh undi yang mencukupi untuk mengangkat mereka ke kepimpinan parti, kali pertama dua pemimpin Melayu terpilih.
Sementara itu, CEC mempunyai empat wakil Malaysia Timur — Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong, dan Ahli Parlimen Lanang Alice Lau.
Bagaimanapun tiada calon Bumiputera Malaysia Timur dalam CEC, apabila Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol gagal mempertahankan jawatan, dan Adun Kapayan Jannie Lasimbang tidak bertanding.
Sikap neutral menangkan Gobind
Chin berkata Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo seorang lagi pemenang besar, setelah memperoleh undi terbanyak dengan 2,785.
“Adalah jelas bahawa perwakilan mahu menunjukkan DAP masih boleh mendekati masyarakat India. Bapanya (mendiang Karpal Singh) adalah pengerusi sebelum ini, dan pencapaian Gobind merupakan suatu isyarat daripada perwakilan,” katanya.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata populariti Gobind berpunca daripada sikap neutral yang ketara, di sebalik perbalahan dalaman DAP, lalu menjadikan beliau pilihan semula jadi bagi perwakilan.
“Gobind tidak tergolong dalam mana-mana kem, itulah sebab utama dia dapat undi tertinggi. Para perwakilan rasa selesa untuk memilihnya,” kata Azmi.
Beliau berkata keputusan pemilihan kali ini, dengan Loke kekal sebagai setiausaha agung, dijangka mengukuhkan hubungan DAP dengan Umno.
Berbanding Guan Eng, yang terkenal dengan sikap agresif terhadap Umno, Loke dilihat lebih diplomatik dan berkemungkinan akan memastikan kestabilan politik dalam kerajaan perpaduan.
“Dengan kemudi di tangan Loke, beliau boleh bercakap dengan Umno secara lebih berbudi bahasa. Sebaliknya, Guan Eng lebih berterus terang, lebih tajam, dan tidak bertapis apabila memberi pandangan tentang Umno,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan