Anne Muhammad
PETALING JAYA: Sudah sampai masanya kerajaan menggunakan petunjuk padanan Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi mengekang jenayah rasuah membabitkan pendaftaran kelahiran, menurut seorang pakar kriminologi bebas.
Shahul Hamid Abd Rahim berkata penggunaan DNA mampu mengesan dan mengesahkan taraf kelahiran ibu bapa sekali gus mampu memastikan seseorang kanak-kanak itu adalah warganegara.
“Jika tidak ramai lagi warga asing yang akan jadi warganegara, yang tak ada ibu bapa jadi warganegara.
“Jadi pengesahan DNA penting memastikan bahawa yang daftar itu kedua-duanya adalah ibubapa mereka yang sah.
“Bila ada DNA, ia dah tak boleh dipertikai kerana 99.9% boleh mengesan siapa orang itu sebenarnya. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga perlu melakukan pemantauan terutama kes lewat daftar kelahiran, kelahiran tidak sah taraf,” katanya kepada FMT.
Tambahnya lagi, kerajaan boleh mengenakan pelbagai peruntukan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) sekiranya ia membabitkan keselamatan negara.
Selasa lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah menahan beberapa individu termasuk seorang doktor bergelar ‘Datuk Seri’ kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan pendaftaran kelahiran.
Mereka ditahan dalam Op Outlander dan Op Birth membabitkan serbuan ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.
Penahanan itu termasuk suspek utama yang juga seorang penjawat awam disyaki melakukan perbuatan tersebut dengan membantu permohonan lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Turut ditahan, enam orang awam disyaki menggunakan khidmat ejen berkenaan, selain seorang pengamal undang-undang dipercayai orang tengah di antara ejen dan pemohon.
Sementara itu, Ahli Institut Integriti Malaysia Lee Lam Thye mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pesalah terlibat.
Beliau juga mengingatkan semua pihak khususnya penjawat awam agar ‘menjadikan integriti dan amalan anti rasuah ini sebagai nilai hidup’
“Berkaitan nilai murni, saya rasa, itu harus kita lakukan untuk mendidik generasi muda menerusi program pendidikan, memupuk nilai jangan ambil rasuah. Kita harus lebih banyak usaha memupuk integriti.
“Saya sedih, orang berjawatan tinggi, diberikan bermacam gelaran (seperti Datuk Seri) ditangkap oleh SPRM dan itu adalah sesuatu yang serius,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan