FMT Reporters
Kejadian berlaku di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pending, Kuching, petang semalam.
Keadaan di tempat kejadian selepas warga emas yang juga pemandu forklift maut tertusuk bilah jentera itu. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Seorang warga emas maut selepas dadanya tertusuk bilah forklift dalam kejadian di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Pending, Kuching, petang semalam.
Ketua Polis Kuching, Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kejadian itu dilaporkan oleh pihak kilang berkenaan pada 4 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Polis Bintawa dihantar ke tempat kejadian sejurus menerima laporan berkenaan.
“Setibanya di lokasi, didapati lelaki tempatan berusia 70 tahun yang juga pemandu forklift itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Dia tersepit antara timbunan palet dan bilah pengangkat barang forklift yang terkena dada kirinya.
“Anggota paramedik yang turut dipanggil mengesahkan lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, menurut Harian Metro.
Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ngeri itu bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ketua Polis Balai Bintawa Sarjan Mejar Siti Mariam Hamid di talian 0164661345, Balai Polis Bintawa di talian 082-335930 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan