FMT Reporters
PETALING JAYA: Cara kematian Zara Qairina Mahathir paling konsisten dengan tindakan membunuh diri, kata pakar perunding psikiatri forensik Chua Sze Hung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Katanya, mangsa menunjukkan faktor risiko bunuh diri yang lebih dominan, berbanding faktor pelindung pada waktu kejadian, lapor Berita Harian.
Saksi ke-67 inkues kematian Zara itu, berkata beliau menyediakan, menandatangani, dan mengecap laporan psikiatri setebal 84 muka surat bertarikh 2 Feb untuk mahkamah, yang fokus kepada isu kebarangkalian membunuh diri dan keadaan berkaitan remaja berusia 13 tahun itu.
Beliau yang membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, memberitahu antara maklumat dan dokumen disemak, termasuk diari Zara, lokasi kejadian, dan laporan bedah siasat oleh pakar perunding patologi forensik, Dr Jessie Hiu.
Selain itu, laporan kaunseling, lawatan ke asrama, dan bilik dormitori Zara, temu bual bersama ahli keluarga, kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha serta sekolah rendah mangsa.
“Terdapat maklumat menunjukkan gangguan emosi, kemarahan melampau, tingkah laku mencederakan diri sendiri, hubungan interpersonal yang tidak stabil, dan ketakutan akan ditinggalkan. Bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk membentuk diagnosis gangguan personaliti secara retrospektif.
“Walaupun terdapat maklumat menunjukkan gejala kemurungan, saya tidak percaya mangsa menderita penyakit mental teruk yang boleh didiagnosis sebelum insiden berkenaan.
“Pertemuan faktor kecenderungan dan pencetus menunjukkan tindakan terakhir itu berkemungkinan besar adalah usaha untuk mengakhiri penderitaan, yang berlaku semasa keadaan tekanan akut yang melampau, pertimbangan yang terjejas, dan pengurangan akses kepada mekanisme pelindung normal, bukannya penamatan yang dirancang dengan rapi,” katanya.
Chua berkata, antara punca utama kematian dalam kalangan remaja yang lebih tua adalah membunuh diri dan hampir tiga daripada lima kes bunuh diri belia tidak mempunyai diagnosis kesihatan mental yang didokumentasikan sebelumnya.
Katanya, kajian menunjukkan remaja Malaysia berusia 13 hingga 15 tahun berisiko lebih tinggi untuk melakukan cubaan bunuh diri berbanding kumpulan umur remaja lain, malah pelajar yang ibu bapa tinggal berasingan juga menunjukkan kebarangkalian lebih tinggi untuk melakukan cubaan itu.
“Dalam kes mangsa, faktor risiko (faktor kecenderungan) termasuk, tetapi tidak terhad kepada peristiwa hidup yang penuh tekanan, persepsi diri yang negatif, persepsi dibuli, pencapaian akademik tidak memuaskan, sejarah penggunaan bahan, kemarahan atau keagresifan (lisan), kecederaan diri bukan bunuh diri (NSSI), perpisahan ibu bapa, konflik dengan ibu bapa, sensitiviti sosial, gejala kemurungan, isu tingkah laku dan keinginan untuk mati.
“Faktor pencetus (faktor langsung) termasuk peristiwa hidup yang memberi tekanan (soal siasat) dan perasaan terasing. Keadaan penyumbang lain termasuk kekurangan tidur kronik dan kekecewaan daripada peringatan ‘Badar’ (pengawas),” katanya.
Chua juga berkata, terdapat beberapa faktor risiko bunuh diri yang wujud sebelum mangsa memasuki sekolah tersebut.
Jabatan Peguam Besar Sabah pada 17 Sept lalu memohon Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan penilaian psikiatri bagi membantu inkues kematian Zara.
Pasukan tiga ahli terdiri Chua sendiri, pakar psikiatri kanak-kanak, dan remaja Nurulwafa Hussain serta pakar psikologi klinikal, Norhameza Ahmad Badruddin dilantik oleh ketua pengarah KKM pada 19 Sept 2025 untuk menjalankan penilaian menggunakan pendekatan bedah siasat psikologi.
Chua menambah, beliau pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar untuk kes bunuh orang, pengedaran dadah, dan kes kesalahan seksual yang dihantar untuk penilaian mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah serta Mahkamah Syariah di seluruh negara.
Zara ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolah dan disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan