FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis menahan seorang anggota tentera berpangkat koperal kerana disyaki memukul seorang askar sampai tidak sedarkkan diri hingga terpaksa menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa berkaitan kes pukul yang berlaku kira-kira 8 malam, Isnin lalu di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja di Bentong.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek memukul, menumbuk dan menendang askar yang berusia 24 tahun di beberapa bahagian badan.
Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia 19 hingga 22 tahun bersama dalam kejadian itu.
“Mangsa dilaporkan pengsan dan masih menerima rawatan di ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.
“Mangsa dilaporkan masih tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, enam lagi mangsa dirujuk ke Hospital Bentong bagi tujuan pemeriksaan jika ada sebarang kecederaan.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek berusia 37 tahun semalam dan direman hingga 4 April ini bagi bantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.
Zaiham berkata polis akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kes itu dan menggesa orang ramai tidak buat sebarang spekulasi yang boleh ganggu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan