"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi - Serangan 'menteri paling gagal' disusun pihak berkepentingan

Malaysiakini 

 
Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mendakwa naratif yang melabelkan dirinya sebagai "menteri paling gagal" merupakan satu gerakan terancang yang disusun oleh kumpulan berpengaruh tertentu untuk mengalihkan perhatian orang ramai.

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, serangan tersebut dilakukan secara berterusan melalui pelbagai saluran media dengan melibatkan individu-individu tertentu bagi mendesak beliau bersara daripada dunia politik.

"Sudah tentu serangan dan naratif 'menteri gagal' ini disusun; ada kumpulan berpengaruh di belakang naratif ini.

"Sebabnya individu-individu yang buat serangan dan gesaan ini, orang pun tak kenal. Kalau tidak disusun, saya tak rasa media-media utama di negara ini sudi menghabiskan ruang media mereka melaporkan komen-komen mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi turut menamakan beberapa individu yang menurutnya digunakan untuk mengulangi serangan tersebut, termasuk pengasas PKR yang menyertai MCA, Ng Lum Yong; aktivis politik, Faizan Mohd Noor; serta bekas calon pilihan raya negeri Sarawak, Mahmud Epah.

Akui 'gagal' dalam aspek lain

Dalam nada menyindir, Rafizi berkata dia mengakui mempunyai banyak "kegagalan," namun merujuk kepada keengganannya untuk berdiam diri terhadap isu rasuah dan amalan membodek pihak berkuasa.

Dia memberi contoh pendedahannya mengenai isu SRC International dan 1MDB pada masa lalu yang menyebabkan dirinya dikecam, namun akhirnya terbukti di mahkamah apabila bekas perdana menteri Najib Razak diarahkan membayar lebih RM5 bilion kepada kerajaan.

"Saya gagal berdiam diri bila saya rasa ada rasuah, lagi tinggi pangkat, lagi kuat saya bersuara.

"Saya juga gagal dalam membodek. Kalau harga tidak membodek itu bermakna saya diserang, dimaki atau dicerca, saya gagal takut dan tidak sekali-kali akan membodek sesiapa pun yang berkuasa," katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan bahawa dia tidak akan berhenti menjalankan amanahnya walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai siasatan, saman, serta ancaman terhadap keselamatan keluarga.

Rafizi seterusnya memaklumkan bahawa dia akan menjawab segala tuduhan tersebut secara terperinci menerusi sesi podcast "Yang Bakar Menteri" (YBM) episod ke-42 yang dijadualkan pada Jumaat ini.

Tiada ulasan: