Nor Azizah Mokhtar
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan polis ketika cuba menarik keluar kabel dari lurang menggunakan kenderaan pacuan empat roda di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, dekat sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, polis menerima panggilan orang awam kira-kira jam 3.59 pagi memaklumkan sekumpulan individu disyaki mencuri kabel berhampiran Masjid Al-Ubudiah, Kampung Tasik Tambahan.
Beliau berkata, susulan maklumat itu, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ampang Jaya mengarahkan sepasukan anggota unit kereta peronda (MPV) ke lokasi untuk tindakan awal.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Ampang bersama MPV tiba di lokasi kira-kira jam 4.18 pagi dan mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda sedang menarik keluar kabel daripada sebuah lurang.
“Kenderaan itu dipandu seorang lelaki tempatan sebelum polis menahannya serta merampas kenderaan dan barangan berkaitan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Anuar berkata, polis turut mengesan satu hantaran video mengenai kejadian itu yang tular di TikTok, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan