FMT Reporters
Keretapi Tanah Melayu Berhad memaklumkan seorang kakitangan syarikat kontraktor yang terbabit dalam pergaduhan pada Selasa lalu digantung tugas serta-merta.

Tangkap layar video tular menunjukkan pergaduhan dua lelaki di Stesen KTM Komuter Labu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat pergaduhan dipercayai membabitkan seorang penumpang dan kakitangan di Stesen KTM Komuter Labu di Nilai susulan satu video tular di media sosial.
Ketua Polis Nilai, Johari Yahya, berkata pihaknya mengesan satu video seminit 36 saat yang memaparkan pergaduhan dua lelaki di Stesen Komuter Labu menerusi TikTok pada 3.45 petang semalam.
“Susulan itu, satu laporan dibuat ketua polis Balai Labu pada 4.26 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai di talian 06-790 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Video tular itu menunjukkan seorang warga emas bertanyakan kelewatan tren kepada kakitangan bertugas, tetapi dijawab dengan nada kurang menyenangkan.
Seorang penumpang lelaki kemudian menegur kakitangan terbabit yang disusuli pergaduhan.
Kelmarin, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan seorang kakitangan syarikat kontraktor yang terbabit dalam pergaduhan pada Selasa lalu digantung tugas serta-merta.
KTMB menjelaskan individu itu bukan kakitangannya, sebaliknya pekerja syarikat kontraktor yang dilantik untuk menjalankan perkhidmatan di stesen terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan