Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
Semporna: Seorang lelaki ditahan selepas pelancong wanita warga China mendakwa seorang individu menceroboh bilik sebelum mencabulnya di sebuah resort di Jalan Kamiri, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika mangsa yang berusia 25 tahun sedang tidur di dalam bilik penginapan berkenaan.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa mendakwa tersedar apabila merasakan seseorang sedang menanggalkan sebahagian pakaiannya sebelum berlaku pergelutan ketika suspek cuba memegang tangan mangsa
"Mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri dari bilik berkenaan dan bersembunyi di kawasan semak berhampiran sebelum ditemui seorang pekerja resort pada waktu pagi.
"Ketika melarikan diri, mangsa turut mendakwa rambutnya ditarik oleh suspek sehingga menyebabkan dia terjatuh," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tan berkata, bertindak hasil maklumat dan siasatan awal, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna menahan suspek kira-kira jam 8 malam semalam di kawasan resort berkenaan.
"Suspek berusia 18 tahun itu kemudian dibawa ke IPD Semporna bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan