Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
Tawau: Polis menahan lelaki warga asing selepas kira-kira lima jam disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun di sebuah rumah kedai di Kalabakan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek berusia lingkungan 40-an itu ditahanjam 9.45 pagi oleh sepasukan anggota Balai Polis Kalabakan.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian sebelum menjalankan tindakan susulan bagi mengesan suspek.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan menjalankan tindakan susulan dan berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 40-an di kawasan deretan kedai berhampiran Bulatan Kalabakan jam 9.45 pagi tadi," katanya.
Rosdi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu, mangsa yang berada di sebuah rumah kedai mendakwa didatangi seorang lelaki yang kemudian cuba mendekatinya.
Katanya, mangsa menjerit meminta pertolongan dan melawan sebelum lelaki terbabit didakwa menendangnya dan melarikan diri.
Rosdi berkata, suspek yang ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792)," katanya.
Beliau menasihatkan ibu bapa dan masyarakat supaya sentiasa mengambil berat keselamatan kanak-kanak serta segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengetahui atau mengesyaki sebarang perlakuan yang boleh mengancam keselamatan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan