Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Anggota polis Cawangan Khas yang mendakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, membuat laporan polis baharu bagi mengemukakan bukti tambahan.
Peguam Kamal Hisham Ja'afar dan Muhammad Nor Tamrin, berkata anak guam mereka, Lans Koperal Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40, membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi pada 10 Oktober lalu.
Mengikut laporan polis berkenaan, Mohammad Faiz mendakwa beliau sedang merakam gambar insiden di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan telefon bimbitnya.
Beliau mendakwa, telefon bimbitnya kemudian dirampas dan dia ditahan secara salah, selain turut dikasari, dipukul, dan diugut.
Menerusi satu kenyataan firma guaman yang mewakilinya hari ini, menyatakan bahawa fakta kes menjurus kepada kemungkinan berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 186, 323, 353, 355 dan 506 Kanun Keseksaan.
Peruntukan itu merangkumi kesalahan menghalang tugas penjawat awam, sengaja mendatangkan kecederaan, menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam menjalankan tugas, menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat menjatuhkan maruah, serta ugutan jenayah.
Kenyataan itu mendakwa, Mohammad Faiz dan seorang lagi anggota, Lans Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman yang bertugas sebagai Pegawai Kawalan Perjalanan (TCO), dikasari Mohd Shuhaily di kawasan awam.
Ia mendakwa, insiden itu menyebabkan anak guam mengalami kecederaan dan menjejaskan maruahnya.
Firma guaman berkenaan turut menimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat kenyataan palsu mengenai peguam dan anak guam mereka, termasuklah dakwaan kononnya kos guaman dibiayai sindiket jenayah.
Muhammad Ekmal dan Mohammad Faiz turut menafikan dakwaan bahawa mereka bertindak sebagai 'ulat' atau terbabit kegiatan counter setting (mengatur kemasukan warga asing).
Firma guaman itu menegaskan, penyebaran dakwaan palsu boleh diklasifikasikan kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan atas kenyataan mendatangkan khianat awam, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Minggu lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah memulangkan kertas siasatan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Polis setakat ini merakam keterangan 25 individu sebagai saksi, namun beberapa aspek termasuk pengesahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memerlukan penelitian lanjut sebelum siasatan dilengkapkan sepenuhnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan