‘Jangan permainkan saya!’ – Ka Siong berang, beri amaran keras kepada BN Melaka
Harapandaily
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberi amaran keras kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) Melaka supaya tidak mempermainkan parti itu dengan membuat keputusan sepihak, khususnya dalam urusan pengagihan kerusi dan pengumuman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang jelas tidak berpuas hati menegaskan bahawa kedudukannya sebagai Presiden MCA tidak boleh dipandang ringan, malah tidak menolak kemungkinan mengambil keputusan besar sekiranya partinya terus tidak dihormati.
“Jangan permainkan saya. Saya beritahu kamu, saya berani bertindak. Saya datang atas dasar menghormati kamu semua, tetapi jika kamu mempermainkan saya, saya akan pergi.
“Jangan anggap saya sebagai presiden parti tidak berani bertindak,” katanya seperti dilaporkan akhbar Cina, Sin Chew Daily, hari ini.

Kemarahan Ka Siong tercetus susulan tindakan BN Melaka mengumumkan calon MCA ketika rundingan pengagihan kerusi antara parti komponen gabungan itu didakwanya masih belum dimuktamadkan.
Dalam wawancara telefon eksklusif bersama akhbar berkenaan, beliau menyelar tindakan pengumuman secara sepihak itu sebagai tidak menghormati MCA, sebuah parti komponen yang telah bersama BN sejak sekian lama.
“Kalau semua pihak belum mencapai persetujuan, jangan tergesa-gesa membuat pengumuman.
“Ini adalah soal menghormati pihak lain yang paling asas,” tegasnya.
Bantahan
Ka Siong mendakwa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah memaklumkan bahawa calon akan diumumkan pada 23 Oktober, namun beliau telah menyatakan bantahan kerana rundingan pembahagian kerusi belum selesai.
Menurutnya, watikah pelantikan calon juga belum ditandatangani, tetapi BN Melaka tetap meneruskan pengumuman berkenaan tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi MCA.
Lebih mengecewakan, beliau mendakwa beberapa kawasan yang pernah ditandingi MCA turut diberikan kepada parti lain tanpa rundingan sewajarnya.
Ka Siong menegaskan bahawa sekalipun calon yang diumumkan merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), perkara itu tidak bermakna mereka secara automatik mendapat pencalonan daripada MCA.
Katanya, kuasa mencadangkan calon tetap terletak pada pucuk pimpinan parti berkenaan dan tidak sepatutnya dipintas oleh pihak lain.
Ketegangan itu menyaksikan Ka Siong bersama beberapa pemimpin MCA meninggalkan Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan tindakan meninggalkan majlis berkenaan bukan bermaksud MCA memboikot BN, sebaliknya sebagai bantahan terhadap keputusan yang dibuat tanpa persetujuan parti.
Masih bersedia
Ka Siong turut membandingkan kemelut tersebut dengan proses pembahagian kerusi pada PRN Johor sebelum ini apabila parti-parti komponen BN masih mampu mencapai persetujuan melalui rundingan.
Menurutnya, pendekatan saling menghormati dan semangat persaudaraan sepatutnya terus menjadi asas kerjasama parti-parti dalam BN.
Beliau menegaskan MCA masih bersedia meneruskan rundingan, namun semua pihak mesti menghormati prinsip dan pendirian setiap parti komponen.
“Kami sangat mudah untuk berbincang. Apa sahaja perkara boleh dirundingkan dan bagaimana hendak menyelesaikannya juga boleh dibincangkan,” katanya.
Untuk rekod, MCA hanya diperuntukkan dua kerusi pada PRN Melaka kali ini, berbanding tujuh kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya negeri 2021.
Dua kerusi tersebut ialah Klebang dan Machap Jaya, masing-masing bakal dipertahankan penyandangnya, Datuk Wira Lim Ban Hong dan Datuk Ngwe Hee Sem, berdasarkan pengumuman BN.
Bagaimanapun, Ka Siong menegaskan MCA tidak akan mengiktiraf pencalonan yang dibuat tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi parti.
Sementara itu, Ahmad Zahid hari ini memberi jaminan bahawa pertikaian berhubung pengumuman calon MCA akan dibincangkan dan diselesaikan sebelum hari penamaan calon pada 31 Oktober ini.
Beliau mengakui Ka Siong terkejut kerana tidak dimaklumkan lebih awal oleh sekretariat mengenai pengumuman calon berkenaan.
Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa watikah pencalonan belum ditandatangani sepenuhnya dan masih terdapat ruang untuk menyelesaikan pertikaian itu melalui rundingan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan