"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dengarlah teguran, nasihat Aliman kepada Kelantan

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mazlan Aliman menasihatkan kerajaan negeri Kelantan agar mendengar teguran daripada pihak luar agar memperbaiki kualiti pemerintahan.
“Janganlah ego dan berlagak bodoh sombong apabila ada pihak yang menegur, kononnya kita lebih tahu apa yang mahu dilakukan,” katanya, dipetik dari blog amenoworld.

Penganalisa politik dan juga pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohammad Agus Yusoff dilaporkan membuat komen bahawa kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa perubahan selepas Pilihan Raya Umum ke 13.

Teguran Dr Agus ini tidak dapat diterima oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah apabila beliau berkata, “dalam 100 hari nak bina bangunan pun takkan boleh siap.”

Dalam mempertahankan kenyataan Dr Agus ini, Mazlan berkata, lebih ramai ahli akademik atau cerdik pandai membuat teguran adalah lebih baik kerana itu tandanya mereka sayangkan kerajaan kita.

Ujar beliau, “jangan berada dalam zon selesa atau asyik menggunakan alasan yang sama – Kerajaan Pusat anak tirikan Kelantan. 

Alasan ini sangat kukuh jika kita baru memerintah 7-8 tahun. Barang diingat kita dah perintah Kelantan selama 23 tahun,” katanya.

Menurut Mazlan lagi, beliau akan membawa perkara ini kepada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hujung bulan ini.

“Saya akan bangkitkan kedudukan Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan PAS Pusat dengan tujuan memantau keberkesanan pemerintahan kita.

“Mungkin skopnya boleh diperluaskan, keanggotaannya ditambah dan ada sayap pemikir di beberapa sektor tertentu seperti pembangunan tanah, perumahan dan kebajikan rakyat,” tambahnya.
-freemalaysiatoday-

TIPU! BN menang PRU13 kerana undi pos dan undi awal - Merdeka Centre

Terima kasih kepada undi awal dan undi pos yang kontroversi kerana membolehkan Barisan Nasional (BN) menang 22 kerusi Parlimen dan seterusnya menguasai lagi Putrajaya, kata badan penyelidik bebas, Merdeka Centre.

Tanpa undi pos dan undi awal juga, MIC tidak akan ada dua wakilnya dalam kabinet iaitu Datuk Seri Dr S Subramaniam (Segamat) dan presidennya, Datuk Seri G Palanivel (Cameron Higland).

Tanpa undi jenis ini, BN juga akan hilang beberapa kerusi di Johor dan Wilayah Persekutuan akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Apa yang lebih penting lagi, tanpa 22 kerusi Parlimen ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak akan mempunyai jumlah kerusi 111 sahaja iaitu jumlah kerusi yang sama dengan kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat.

Maklumat ini diperolehi The Malaysian Insider melalui kajian bentuk pengundian dalam pilihan raya 5 Mei lalu yang dibuat oleh Merdeka Centre.

Data dari semua saluran mengundi di 222 kerusi parlimen dikaji menggunakan dua langkah sistem cluster yang direka khas untuk mengenalpasti kumpulan atau clusters.

Kajian menunjukkan bentuk pengundian pilihan raya 2013 dan mengesahkan pembezaan antara bandar dan luar bandar di Malaysia di samping swing 20 peratus pengundi Cina dari BN.

Merdeka Centre mengesahkan tanpa undi awal dan undi pos, BN akan hilang 22 kerusi Parlimen.

Penemuan ini sudah tentu menyedihkan ahli politik pembangkang kerana sejak beberapa tahun lepas mereka berkempen supaya undi pos dimansuhkan dengan alasan ia membuka ruang untuk menipu.

Ekoran keputusan pilihan raya 5 Mei lalu, PKR, DAP dan PAS telah memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan di beberapa kerusi.

Bantahan utama mereka adalah tentang penipuan dalam undian pos dan undi awal, dengan menunjukkan bagaimana mereka hanya mendapat undi yang sangat sedikit dalam undi ini berbanding pengundian biasa di seluruh negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, terdapat 372,000 pengundi awal dan pengundi pos di seluruh negara di kalangan petugas keselamatan, petugas SPR dan media.

Kehadiran mereka dalam beberapa kawasan sangat penting kerana pertembungan yang sengit. Secara puratanya terdapat 1,100 pengundi pos dan 800 pengundi awal bagi setiap kerusi Parlimen.

Menurut Merdeka Centre, selepas menganalisa data itu, mereka merumuskan, BN boleh kehilangan sehingga 30 kerusi Parlimen jika tidak ada undi awal dan undi pos.

Kerusi-kerusi itu adalah:
Segamat (93.3% pengundi pos dan undi awal untuk BN), Bagan Serai (82.6% BN), Muar (87.2% BN), Pulai (88.8% BN), Jerai (74.2% BN), Balik Pulau (89.5% BN),Machang (79.2% BN), Labis (89.75% BN), Kuala Selangor (71.7%for BN), Beaufort (71.7%for BN), Kuala Kangsar (76%for BN), Hulu Selangor (83.9% BN), Sungai Besar (75.1% BN), Baram (89.2% BN), Kulim-Bandar Baharu (88.8% BN), Pasir Gudang (89% BN), Tangga Batu (86.4% BN), Titiwangsa (78.9% BN), Tasek Gelugor (68% BN), Tenom (87.6% BN), Bentong (89.9% BN), Cameron Highlands (91.3% BN), Merbok (80.5% BN), Ketereh (81.6% BN), Setiawangsa (81.9% for BN), Mas Gading (72.3% BN), Keningau (78.4% BN).

Antara mereka yang menang kerana undi pos dan undi awal adalah Presiden MIC, Palanivel. Dia menang kerusi Cameron Highland dengan majoriti 462 undi selepas mendapat 91.3 peratus undi pos dan undi awal.

Calon lain adalah Datuk Chua Tee Yong, anak presiden MCA. Dia menang kerusi Labis dengan 353 undi majoriti selepas mendapat 89.7 peratus undi pos dan undi awal.

Dalam laporannya, Merdeka Centre merumuskan, "Implikasi dari undi pos dan undi awal dalam pilihan raya ini sudah pasti menyebabkan masyarakat sivil dan pembangkang akan terus menekan SPR membuat reformasi dalam proses pilihan raya."
-malaysianinsider-

Siri 2 : 'The awakening', Dr Mahathir dan Abdullah

Aspan Alias
Permintaan agak ramai dari pengikut blog ini ini untuk saya meneruskan menulis isu tentang Pak Lah dan Mahathir seperti yang dihebohkan hasil dari terbitnya buku ‘The awakening: Abdullah Badawi years in Malaysia’ yang saya sentuh semalam. Seperti yang di jangkakan isu perkelahian Dr Mahathir dengan Pak Lah ini pastinya menjadi isu hangat kerana sememangnya kedua-duanya sememangnya dalam keadaan bermusuhan dan seteru ‘intra-politics’ dalam UMNO itu sendiri.
Perbalahan diantara kedua-dua pemimpin ini tidak terkejut berlaku kerana ia didasarkan kepada niat dan politik peribadi yang disalut dengan kepentingan dan kemahuan peribadi masing-masing. Kalau tidak kerana politik tidak mungkin mereka berdua berkelahi kerana perkelahian diantara mereka yang sudah tua ini amat buruk pada pandangan yang melihatnya.

Dr Mahathir bukan sahaja berjaya menurunkan Hussein Onn yang melantik beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO. Sebelum itu Dr Mahathir juga merupakan pemain penting yang telah memaksa Tunku Abdul Rahman turun dari kepimpinan negara. Tunku semasa akhir hayatnya mengaku yang beliau telah terlebih masa duduk dipuncak kepimpinan dan ini meresahkan Tun Razak yang telah menjadi Timbalannya selama lebih dari satu dekad.

Dr Mahathir telah menganyang Tunku pada tahun 1969 dahulu dengan berbagai-bagai cara dan akhirnya pada penghujung tahun 1970 telah meletakkan jawatan dan memberikan laluan kepada Tun Razak untuk mengambil alih kepimpinan negara. Tun Razak telah memberikan Dr Mahathir jawatan kabinet sebagai Menteri Pelajaran setelah beliau kembali diterima sebagai ahli UMNO.

Boleh dikatakan kenaikan Dr Mahathir sedikit sebanyak oleh Tun Razak adalah kerana membalas budi Dr Mahathir kerana menurunkan Tunku pada tahun 1969 dan 1970 dahulu. Ramai telah menyangkal pandangan ini kerana di masa itu cara permainan politik begitu halus dan susah hendak difahami oleh orang awam kerana hendak menjaga perpecahan dari berlaku.

Semasa Dr Mahathir menjadi Timbalan Perdana Menteri Hussein Onn begitu tertekan dengan apa yang dilakukan oleh Timbalannya dan yang paling menyayat hati Hussein ialah apabila beliau (Hussein) ditandingi diperingkat Presiden parti oleh Sulaiman Palestin pada tahun 1977 atau tahun 1978 dahulu. Sebagai seorang yang begitu memnetingkan sokongan padu sedikit undi yang diperolehi oleh Sulaiman Palestin itu mencukupi bagi Hussein untuk meletakan jawatan.

Hussein berfikir dan akhirnya beliau dalam perhimpunan itu juga mengumumkan yang beliau tidak akan mengekalkan jawatan beliau pada pemilihan parti yang berikutnya, iaitu pada tahun 1981 dahulu. Beliau bukannya merajuk kerana pertandingan itu, tetapi beliau berkecil hati kerana pertandingan itu di dorong oleh Timbalannya yang beliau telah lantik sendiri.

Moralnya Hussein telah mengamalkan semangat demokrasi yang tulin. Sewaktu itu ada sedikit sebanyak tentangan terhadap kepimpinannya beliau mengambil keputusan untuk berundur walaupun beliau mendapat majoriti lebih dari seribu undi. Beliau tahu yang Timbalannya sangat berkendakan jawatan itu secepat yang mungkin.

Itulah rupanya politik jika dipimpin oleh orang-orang dari kelas aristokrat dan ia amat berbeza dengan pimpinan selepas beliau yang mempunyai mentaliti seperti mentaliti ‘migrant’ yang telah merobah keseluruhan semangat dan budaya politik demokrasi sejak dari saat itu. Bermula dari saat itulah hilangnya sifat ‘magnanimity’ kepimpinan dan pemimpin UMNO selepas Hussein merupakan pemimpin yang membawa budaya dan semangat demokrasi acuan yang berlainan.

Bermula dari saat itu pemimpin UMNO adalah dari gulungan yang hati yang kecil dan fakir jiwanya dengan mangambil kuasa itu sebagai kuasa yang mutlak bagi dirinya sendiri sahaja. Kuasa itu amat penting bagi diri-diri mereka dan bukannya kuasa besar untuk parti yang mereka pimpin lagi.

Pimpinan sejak selepas Hussein Onn mempunyai kompleks ‘inferiority’ yang besar dan pucuk pimpinan bermula dari saat itu mudah takut dengan bayang-bayang kerana kemiskinan jiwa kepimpinan mereka tadi.

Dari saat itu jugalah bermulanya pembersihan parti dari pemimpin-pemimpin yang ditakuti oleh Dr Mahathir dan usaha ini dilakukan dengan begitu sistematik sehingga sampai beliau bersara setelah 22 tahun duduk diatas kuasa. Dizaman kepimpinan ini, usaha untuk mewujudkan kepimpinan pelapis yang berkalibar tidak langsung dibuat malahan semua pemimpin yang berkemampuan yang dididik oleh Tun Razak bersama beliau sendiri (Mahathir) telah dikeluarkan oleh Mahathir dengan begitu sistematik.

Sepatutnya Mahathir membina pemimpin-pemimpin pelapis dalam UMNO, sebaliknya beliau hanya mengumpulkan pemimpin-pemimpin ‘pelapik’ sahaja untuk menjadi pasak bagi menguatkan cengkaman beliau terhadap parti yang menaikan beliau selama itu.

Mahathir sememangnya mempunyai kemahiran dalam bidang menjatuhkan pimpinan yang beliau rasakan akan menggugat dan mempengaruhi pengaruhnya dalam parti UMNO itu. Maka wujudlah pemimpin yang terbit dari kumpulan pengampu dan pengangguk yang sentiasa menumpukan politik mereka untuk memberikan ‘amusements’ terhadap Dr Mahathir sahaja. Mahathir terkenal kerana mempunyai kemahiran memecah dan membelahkan sesiapa yang beliau rasakan akan menyaingi kepimpinan beliau.

Tengku Razaleigh dan Musa Hitam merupakan dua orang yang dididik oleh Tun Razak untuk kepimpinan masa depan negara bersama Dr Mahathir tetapi kedua-dua Musa dan Razaleigh adalah mangsa pertama dalam politik pecah perintah Dr Mahathir Mohammad itu. Mahathir tidak mahu sesiapa yang berkemampuan berada di keliling beliau.

Semasa itu ramai yang sedar musuh Musa bukannya Tengku Razaleigh dan musuh Tengku Razaleigh bukannya Musa. Sebenarnya mereka berdua mempunyai musuh yang sama iaitu Dr Mahathir Mohammad. Lama kelamaan ahli-ahli UMNO sendiri mulai merasakan yang Dr Mahathir telah memusyuhi semua yang mempunyai kredibiliti kepimpinan dan UMNO mula lemah dan lemah dari masa kesemasa.

Semasa pemerintahan Dr Mahathir hanya beliau sahaja yang dibenarkan berfikir dan yang lain hanya wajar menjadi pengangguk beliau sahaja. Setelah beliau memegang kuasa selama 22 tahun tanpa ada usaha memina kepimpinan negara maka terhasillah pemimpin yang kalibarnya seperti yang ada kepada Abdullah Badawi dan sekarang Najib Tun Razak sendiri.

Itulah kesangsaraan yang sedang dihadapi oleh UMNO itu sekarang ini, iaitu tiada lagi mempunyai kepimpinan yang berwibawa. Pemimpin yang berwibawa telah mati bergelimpangan hasil penangan kepimpinan Dr Mahathir. Tiada siapa yang berwibawa mempunyai ‘survival’ politik semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri negara ini.

Itu sebabnya saya bertanya kenapa begitu ganas sekali Dr Mahathir menyalahkan penggantinya itu dalam serba serbi masalah yang dihadapi negara?
(Bersambung)