"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isteri orang dicekup dengan duda

RUBIAH OMAR

Wanita itu bersama pasangan 'terlarang'nya turut dikenakan denda RM2,400 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU - Hubungan sulit seorang pembantu kedai makan yang juga berstatus isteri orang dengan seorang duda bukan sahaja terbongkar selepas mereka dicekup berkhalwat di sebuah bilik hotel bajet di bandaraya ini.

Malah, wanita itu bersama pasangan 'terlarang'nya turut dikenakan denda RM2,400 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini atau diarahkan menjalani tiga minggu penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Keputusan dibuat selepas wanita berusia 38 tahun bersama pasangannya, 34, yang bekerja sebagai jurujual mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Mengikut pertuduhan, pasangan yang berasal dari Kelantan dicekup selepas bilik di sebuah hotel bajet di sewa mereka diserbu dalam satu serbuan berwaran, kira-kira jam 10.40 malam, pada 14 Disember tahun lalu.

Semasa serbuan dilakukan, didapati pintu utama bilik tertutup rapat dan berkunci sebelum diketuk beberapa kali sambil memberi salam.

Tiga minit kemudian, pintu dibuka seorang perempuan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan di dalam bilik dan menemui seorang lelaki yang hanya bertuala bersembunyi di dalam bilik air.

Pemeriksaan seterusnya mendapati hanya mereka berdua di dalam bilik hotel itu dan hasil soal siasat mendapati mereka tiada hubungan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar di hadapan Hakim Syarie.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang remaja yang juga berstatus isteri orang diarahkan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor, selama tiga bulan.

Keputusan dibuat selepas gadis berusia 18 tahun itu mengaku berkhalwat bersama dua rakan lelakinya, 38 dan 19 tahun, yang mana salah seorang daripadanya berstatus suami orang di sebuah rumah tumpangan di Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Dia yang tidak bekerja itu mengaku bersalah melakukan perbuatan tidak bermoral berkenaan selepas rumah tumpangan disewa mereka diserbu, kira-kira jam 1.11 pagi, pada 5 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Muhammad Hafiz Razali.

Bekas naib presiden Gerakan sertai Amanah

Bernama

TAWAU: Bekas Naib Presiden Gerakan, Tan Sri Liew Yun Fah bersama lebih 1,000 orang dari Parlimen Tawau dan Kalabakan menyertai Amanah hari ini.

Borang keahlian mereka diserahkan kepada Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam satu majlis parti itu.

Mohamad ketika ditemui pemberita berkata penyertaan beramai-ramai itu sebagai satu permulaan gelombang baru dan sekali gus membuktikan Amanah mulai diterima dan semakin berkembang di Sabah.

“Bilangan ahli di Sabah lebih sekitar 5,000 orang dan semakin bertambah selepas pilihan raya umum lalu.

“Amanah mula mendapat tempat di Sandakan dan kini semakin berkembang dan saya yakin dengan kemasukan ahli baharu di Sabah ini, Amanah mampu menjadi parti berperanan penting di Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Mohamad berkata masyarakat sebenarnya menerima Amanah sebagai parti multi-racial namun tiada publisiti mengenai perkara tersebut.

“Masyarakat Sabah ini bersikap lebih terbuka dan masyarakatnya tidak kuat berasaskan perkauman atau fahaman aliran agama tertentu, ekoran itu Amanah memiliki potensi di Sabah,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk penyertaan orang bukan Islam kerana Amanah merupakan sebuah parti multi-racial.

“Dalam jawatankuasa tertinggi Amanah sendiri terdapat 2 orang bukan Islam cuma perkara ini tiada publisiti,” katanya.

Mohamad dalam pada itu tidak menafikan bahawa terdapat cakap-cakap berkaitan ahli pembangkang di Sabah mahu menyertai Amanah namun belum dapat dipastikan kebenarannya.

“Namun, sekiranya ada ahli pembangkang yang mahu menyertai Amanah perkara ini akan dibincang ke peringkat tertinggi,” katanya.

Sementara itu, Liew yang juga komander Rejimen 516 Askar Wataniah berkata kemasukannya didorong oleh keprihatinan Mohamad terhadap Sabah.

“Beliau sejak memegang portfolio menteri pertahanan sendiri bermalam di laut (Zon Selamat Timur Sabah) untuk melihat sendiri keselamatan di Sabah, dan pemimpin sebegini perlu untuk negeri ini,” katanya lagi.

Padah bersuamikan lelaki bawah umur

MUMBAI - INDIA . Polis di bandar Mumbai telah menahan seorang wanita berusia 20 tahun kerana dia berkahwin dengan remaja tiga tahun lebih muda daripadanya, di bawah kes yang jarang berlaku di negara itu.

Wanita itu dan anak perempuannya berusia lima bulan telah ditahan di penjara selama dua minggu selepas ibu suaminya membuat laporan polis.

Dia telah didakwa di bawah Akta Penderaan Seksual ke atas Kanak-kanak dan Akta Larangan Perkahwinan Kanak-kanak.

Wanita itu bagaimanapun menyatakan hubungan mereka adalah secara rela dan turut menafikan suaminya adalah di bawah umur seperti didakwa ibu remaja terbabit.

Difahamkan, umur yang dibenarkan untuk hubungan seks dengan persetujuan di India adalah 18 tahun manakala usia untuk berkahwin sah di sisi undang-undang adalah 18 tahun bagi wanita manakala 21 tahun untuk lelaki.

Dalam laporan yang dibuat ibu lelaki berusia 17 tahun itu, dia mendakwa anaknya telah menghubungi wanita terbabit selama dua tahun dan pernah mengugut untuk membunuh diri jika remaja tersebut enggan bertemu dengannya. - BBC