MOHD SHARKAWI LONDING

TANGKAP layar video dua lelaki menyerang seorang warga emas dipercayai berlaku di Plentong, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU – Seorang warga emas berdepan detik mencemaskan apabila dipercayai menjadi mangsa serangan dua lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah kedai mencuci kereta di Plentong, di sini.
Kejadian itu tular di media sosial selepas rakaman video berdurasi dua minit 54 saat memaparkan tindakan ganas suspek terhadap mangsa tersebar sejak malam tadi.
Menerusi rakaman tersebut, mangsa dilihat ditolak sebelum ditendang dan ditampar oleh lelaki terbabit.
Lebih mengejutkan, mangsa yang sudah berusia itu dilihat tidak berdaya berdepan tindakan agresif individu berkenaan.
Kejadian tersebut mengundang kemarahan netizen yang rata-rata mengecam tindakan lelaki terbabit, selain meluahkan rasa simpati terhadap nasib mangsa.
Rata-rata pengguna media sosial turut mempersoalkan punca kejadian sehingga menyebabkan warga emas berkenaan diperlakukan sedemikian rupa.
Bagaimanapun, motif sebenar kejadian serta punca perselisihan faham yang dipercayai mencetuskan insiden itu belum dapat dipastikan.
Orang ramai turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu terbabit dan mengambil tindakan sewajarnya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan