Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kerjasama antara UMNO dan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berpotensi melonjakkan sokongan kepada kedua-dua parti, terutama dalam kalangan pengundi Melayu, sekali gus boleh membawa kemenangan.
Bagaimanapun, berdasarkan situasi semasa, penganalisis politik melihat formula itu kemungkinan sukar dilaksanakan pada PRU dan di empat negeri yang dikuasai Perikatan Nasional (PN) atau (SG4) kerana ia tidak akan memberi kelebihan kepada UMNO-Barisan Nasional (BN).
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan, berkata situasi pada PRU dan SG4 atau negeri lain kelak agak berbeza, walaupun persefahaman politik antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 sebelum ini terbukti menguntungkan kedua-dua pihak sebelum diteruskan pada PRN Melaka.
"Kerjasama di Melaka menggunakan formula incumbency (penyandang jawatan) dan ini menguntungkan BN kerana gabungan itu mempunyai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Bagaimanapun, formula ini kemungkinan sukar diterima UMNO-BN jika bertanding di SG4 atau negeri seperti Perak dan Pahang kerana kerusi mereka kurang berbanding PAS.
"Jadi, saya melihat kerjasama ini tidak akan dipanjangkan ke SG4, PRN lain atau PRU16 kerana ia dilihat lebih menguntungkan PAS, bukan BN," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyifatkan kerjasama antara UMNO dan PAS pada PRN Melaka sebagai medan menguji formula politik baharu menjelang PRU akan datang.
Mohamed Khaled berkata, kerjasama itu bukan sekadar bertujuan memastikan kemenangan calon BN, malah membawa matlamat lebih besar untuk menyatukan masyarakat Melayu.
Sementara itu, penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Prof Madya Dr Mazlan Ali, turut berpandangan pembahagian kerusi bagi PRU16 agak sulit jika kerjasama UMNO-PAS diteruskan.
"Naratif Melayu-Islam menjadi faktor penyatuan yang membawa kejayaan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan kerana undi Melayu tidak berpecah.
"Bagaimanapun, bagi PRU16, itu belum pasti. Formula perkongsian di Melaka boleh diterima PAS kerana mereka tidak mempunyai pengaruh yang besar. Jika bertanding solo pun, mereka tidak akan menang.
"Kerjasama di SG4 juga mungkin sukar kerana PAS tidak akan menyerahkan kerusinya di negeri berkenaan, kecuali jika UMNO sanggup menerima apa-apa sahaja keputusan PAS, sebagaimana PAS sanggup menerima keputusan UMNO di Melaka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan