"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP JB diugut bunuh, pejabat cabang PKR dibakar

Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Mohd Nasir mendakwa dirinya menerima ugutan bunuh daripada seorang pemilik akaun Facebook pada Khamis dan Jumaat lepas.

Akmal Nasrullah berkata individu yang mengugutnya meninggalkan satu mesej bertulis dan 27 mesej suara yang mengandungi ugutan berkenaan, bahasa kesat serta makian.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu pada masa sama berkata Pejabat Cabang PKR Johor Bahru di Larkin di Johor Bahru yang juga merupakan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru disyaki dibakar kira-kira 6 pagi tadi.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan tinjauan di lokasi, kejadian ini dipercayai perbuatan khianat dan sabotaj dengan terdapat lima tayar dikumpulkan di hadapan pintu pejabat sebelum api dinyalakan.

"Saya tidak pasti sama ada ugutan dan kebakaran itu melibatkan individu sama atau sebaliknya, namun untuk mengatakan kedua-duanya hanyalah kebetulan adalah sedikit pelik kerana perbezaan tempoh masa yang dekat," katanya kepada pemberita selepas ditemui di pejabat berkenaan di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata akibat kebakaran itu, beberapa kerosakan berlaku antaranya pintu “roller shutter”, dua unit penyaman udara, dinding pejabat dan beberapa barangan lain.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan itu berkata laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan pada pukul 2.15 petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung dua kejadian itu.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

Selain itu, Raub berkata laporan polis berhubung kes ugutan baharu diterima dan akan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

- Bernama

‘Tunggu…tunggu’, PM enggan ulas lanjut tarikh PRU

Faiz Zainudin

SERDANG: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diawalkan susulan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi yang dikatakan membincangkan isu itu.

“Tunggu, tunggu,” kata Ismail kepada wartawan apabila ditanya mengenai bila beliau berhasrat membubarkan Parlimen untuk memberi laluan PRU15 diadakan.

Beliau berkata sedemikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Semalam, Ismail menghadiri mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Zahid, mesyuarat itu membincangkan desakan parti agar PRU15 diadakan tahun ini. Bagaimanapun setakat ini, ibu pejabat Umno masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai hasil mesyuarat itu.

Susulan pengumuman bahawa Bajet 2023 akan dibentangkan awal tiga minggu, iaitu pada 7 Okt, spekulasi tercetus bahawa PRU15 mungkin diadakan seawal November ini.

Mandat kerajaan pimpinan Ismail berakhir Julai depan dan PRU harus diadakan pada atau sebelum 16 Sept 2023.

Taklimat khas Umno, perhimpunan jahanamkan institusi keadilan Malaysia

AYHAN FERHAT

Pasca keputusan kes Dato’ Sri Najib Tun Razak oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini telah menyebabkan pimpinan dan parti Umno secara terbuka menzahirkan kemarahan mereka terhadap dua institusi pentadbiran keadilan di Malaysia iaitu institusi kehakiman dan institusi Peguam Negara.

Semalam, pimpinan Umno telah mengadakan satu perhimpunan khas kepada pimpinan bawahan dan memberikan taklimat yang jelas merendah-rendahkan kedua-dua institusi ini dan melancarkan kempen untuk solidariti kepada penjenayah yang telah disabitkan oleh 9 orang hakim bermula daripada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Menurut KANUN (Biro Undang-Undang) Parti Amanah Negara orang yang telah disabitkan oleh Mahkamah ini telah disanjung sebegitu tinggi dengan pelbagai naratif kononnnya penjenayah ini tidak mendapat perbicaraan yang adil dan telah dinafikan hak sebagai tertuduh sedangkan hakikatnya penjenayah ini telah diberikan peluang yang seluas-luasnya untuk membela diri.

Malang sekali, jelas KANUN penjenayah ini lebih memilih untuk membela diri di facebook berbanding dengan mengemukakan pembelaan di dalam Mahkamah.

Taklimat khas Umno, perhimpunan jahanamkan institusi keadilan Malaysia

Peguam Dr Zulqarnain

Pengerusi Kanun Dr Zulqarnain Lukman berkata, taklimat khas UMNO ini menzahirkan kebobrokan mereka terhadap kuasa politik dengan berbuat pelbagai desakan sama ada secara sah mahupun serangan dalam gelap melalui pelbagai media hantu daripada blogger-blogger politik.

“Bahkan, terdapat dalam kalangan penjawat awam yang berada dalam institusi ini juga turut bersekongkol dengan mensabotaj pihak Mahkamah apabila mencuri draf alasan penghakiman dan mendedahkan kepada orang awam sebelum keputusan Mahkamah diberikan.

“Mereka juga menzahirkan kekecewaan mereka terhadap institusi Peguam Negara yang tidak menarik balik kes terhadap suspek dan penjenayah yang telah merompak atau menyalahgunakan wang negara.

“Rakyat Malaysia masih belum boleh lupa bagaimana Dato’’ Sri Najib Tun Razak telah memecat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan menggantikan dengan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang begitu beria-ia membersihkan Perdana Menteri ketika itu daripada kesalahan berkaitan 1MDB dan SRC,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, KANUN menyeru kepada semua penjawat awam supaya menunaikan amanah dalam pentadbiran dan tidak tunduk kepada tuntutan-tuntutan terdesak di kalangan orang Umno yang masih menyanjung penjenayah yang sudah dibuktikan melalui proses Mahkamah.

KANUN juga berharap para Hakim tidak gentar dan berasa terancam dengan sikap pelahap Umno terhadap kuasa.

“KANUN juga merafak sembah kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong untuk tidak menghampakan rakyat Malaysia untuk memberikan pengampunan segera kepada penjenayah sebelum mereka insaf dan bertaubat dan terlebih dahulu menjalani hukuman.

“KANUN juga berasa kecewa kerana rakan politik UMNO yang bersama dalam kerajaan iaitu PAS dan PPBM tidak tegas menyatakan pendirian mereka terhadap jenayah terbesar dan memalukan negara di mata dunia apabila seorang yang berjawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tergamak untuk menyalahgunakan kuasa, pecah amanah dan melakukan penggubahan wang haram sebanyak RM 42 juta,” kata kenyataan itu.

KANUN menyatakan bahawa tindakan kedua-dua parti ini bekerjasama dengan Umno dalam langkah tebuk atap Langkah Sheraton adalah kesilapan politik terbesar sehingga menyebabkan institusi pentadbiran keadilan dihina sebegini rupa pada hari ini.

“KANUN menyeru supaya rakyat Malaysia berdiri teguh untuk menolak UMNO-BN dalam PRU 15 akan datang.

“Akibat buruk akan menunggu rakyat Malaysia sekiranya Umno-BN sekali lagi diberikan kuasa untuk memerintah Malaysia dengan kemusnahan pelbagai institusi penting negara dan wang negara akan dijarah tanpa rasa malu.

“KANUN menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama Pakatan Harapan dalam PRU 15 untuk membersihkan negara ini daripada kemusnahan akibat korupsi dan salah guna kuasa,” ujarnya lagi.