"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Helikopter tentera terhempas, 5 mayat ditemui

Bernama
Helikopter UH-60JA berlepas dari pangkalan Miyakojima di Pulau Miyako tetapi hilang daripada radar ketika berada di kepulauan Miyako dan Irabu, pada Khamis. (Gambar AP)
MOSCOW: Penyelam laut dalam pada Ahad menemui bangkai helikopter tentera Jepun UH-60JA yang hilang minggu lalu dan lima mayat pada kedalaman 106 meter (348 kaki) di selatan Okinawa, Sputnik memetik laporan agensi berita Jepun Kyodo, memetik pegawai Pasukan Pertahanan Diri Darat Jepun (GSDF).

Masih belum dapat dipastikan sama ada mayat itu adalah anggota pasukan GSDF.

Operasi sedang dijalankan untuk membawa mayat ke permukaan.

Helikopter UH-60JA berlepas dari pangkalan Miyakojima di Pulau Miyako pada 15:46 (06:46 GMT) Khamis lalu dan dijadual kembali ke pangkalan yang sama pada 17:05, tetapi hilang daripada radar ketika berada di kepulauan Miyako dan Irabu.

Pencarian 24 jam melibatkan kapal selam khas, pesawat dan bot peronda menemui dua rakit penyelamat, pintu pesawat, bahagian kipas utama, bilah pemutar dan serpihan panel sisi.

Serpihan pesawat helikopter turut ditemui malam Khamis berhampiran Pulau Irabu.

Selain itu, Kyodo melaporkan bahawa penyelamat turut menemukan apa dipercayai beberapa mayat kru helikopter terbabit.

Helikopter itu membawa 10 anggota GSDF termasuk komander Divisyen ke-8 GSDF Leftenan Jeneral Yuichi Sakamoto sebelum dilaporkan hilang daripada radar pada 6 April, 3.46 petang waktu tempatan, kira-kira 10 minit selepas berlepas dari pangkalan tentera di Pulau Miyako di wilayah Okinawa.

Cinta ditolak, penganggur bakar kedai telefon bimbit

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kedai telefon yang berpunca daripada unsur khianat. FOTO Ihsan PDRM.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kedai telefon yang berpunca daripada unsur khianat. FOTO Ihsan PDRM.
Teluk Intan: Berang cintanya ditolak, seorang penganggur bertindak membakar kedai telefon bimbit tempat wanita diminatinya bekerja.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pengadu wanita berusia 46 tahun berkenaan membuat aduan di Balai Polis Langkap jam 3.19 petang, semalam.

Menurutnya, pengadu menyatakan bahawa dirinya diganggu suspek ketika berada di kedai telefon bimbit di Jalan Besar Langkap jam 2.30 petang tadi.

"Suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun, tiada pekerjaan datang ke kedai dan mengamuk sehingga mencederakan pengadu dan melemparkan kata-kata berunsur lucah.

"Suspek turut mengancam keselamatan pengadu dengan mengugut akan membakar pengadu dan tempat kerja pengadu.

"Disebabkan terlalu takut, pengadu bergegas ke Balai Polis Langkap untuk membuat laporan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, semasa laporan dibuat, kedai tempat pengadu bekerja yang juga milik adiknya dilaporkan terbakar.

"Bomba datang ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran. Anggaran kerugian dialami lebih kurang RM100,000.

"Berdasarkan maklumat daripada saksi di tempat kejadian, polis berjaya menahan suspek yang dilihat menyimbah petrol lalu membakar kedai terbabit.

"Motif kejadian dipercayai berpunca cinta suspek ditolak oleh pengadu. Suspek beberapa bulan kebelakangan ini sering datang ke kedai dalam keadaan mabuk dan cuba memikat pengadu tetapi pengadu menolak dengan cara baik kerana sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak," katanya.

Menurut Ahmad Adnan, suspek turut mengalami kecederaan melecur di bahagian muka, tangan dan kaki .

"Suspek ditangkap dalam keadaan mabuk dipercayai di bawah pengaruh alkohol, kini dimasukkan ke Wad Hospital Teluk Intan untuk rawatan susulan.

"Suspek direman lima hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 435/323 Kanun Keseksaan," katanya.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar gantung tiga pegawai kanan

B Nantha Kumar

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar telah menggantung tugas tiga pegawai kanannya, termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan rasuah terhadap kelulusan pekerja asing.

Satu sumber daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan penggantungan tersebut.

"Ya, tiga orang tersebut telah digantung tugas oleh menteri dengan serta-merta.

"Ini termasuk dua orang yang kini ditahan SPRM dan seorang lagi PTTK," katanya ketika dihubungi kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, sumber itu tidak menjelaskan sebab individu ketiga itu digantung tugas.

"Saya tidak pasti sebab seorang lagi PTTK digantung," katanya lagi.

Carian Malaysiakini dalam sistem direktori kakitangan KSM menunjukkan nama ketiga-tiga pegawai tersebut telah dipadamkan.

Untuk rekod, SPRM menyerbu pejabat kementerian di Putrajaya pada Khamis, di mana agensi pencegahan rasuah itu turut menahan seorang pegawai kanan menteri itu.

Sehari kemudian, SPRM menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan rasuah itu. Dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh turut ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan rasuah bernilai RM97 juta.

Difahamkan siasatan SPRM turut bertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

Terdahulu, pagi ini SPRM telah memanggil Sivakumar untuk merekodkan kenyataannya.

Dia dilaporkan pergi ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi ini untuk menjawab soalan berhubung kes itu.

"Ya, dia tiba jam 10 pagi. Kami memanggilnya untuk merakam kenyataannya," kata sumber SPRM seperti dipetik laporan portal berita tempatan.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk pengesahan dan butiran lanjut mengenai perkara itu.