"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cinta ditolak, penganggur bakar kedai telefon bimbit

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kedai telefon yang berpunca daripada unsur khianat. FOTO Ihsan PDRM.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kedai telefon yang berpunca daripada unsur khianat. FOTO Ihsan PDRM.
Teluk Intan: Berang cintanya ditolak, seorang penganggur bertindak membakar kedai telefon bimbit tempat wanita diminatinya bekerja.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pengadu wanita berusia 46 tahun berkenaan membuat aduan di Balai Polis Langkap jam 3.19 petang, semalam.

Menurutnya, pengadu menyatakan bahawa dirinya diganggu suspek ketika berada di kedai telefon bimbit di Jalan Besar Langkap jam 2.30 petang tadi.

"Suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun, tiada pekerjaan datang ke kedai dan mengamuk sehingga mencederakan pengadu dan melemparkan kata-kata berunsur lucah.

"Suspek turut mengancam keselamatan pengadu dengan mengugut akan membakar pengadu dan tempat kerja pengadu.

"Disebabkan terlalu takut, pengadu bergegas ke Balai Polis Langkap untuk membuat laporan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, semasa laporan dibuat, kedai tempat pengadu bekerja yang juga milik adiknya dilaporkan terbakar.

"Bomba datang ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran. Anggaran kerugian dialami lebih kurang RM100,000.

"Berdasarkan maklumat daripada saksi di tempat kejadian, polis berjaya menahan suspek yang dilihat menyimbah petrol lalu membakar kedai terbabit.

"Motif kejadian dipercayai berpunca cinta suspek ditolak oleh pengadu. Suspek beberapa bulan kebelakangan ini sering datang ke kedai dalam keadaan mabuk dan cuba memikat pengadu tetapi pengadu menolak dengan cara baik kerana sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak," katanya.

Menurut Ahmad Adnan, suspek turut mengalami kecederaan melecur di bahagian muka, tangan dan kaki .

"Suspek ditangkap dalam keadaan mabuk dipercayai di bawah pengaruh alkohol, kini dimasukkan ke Wad Hospital Teluk Intan untuk rawatan susulan.

"Suspek direman lima hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 435/323 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: