"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Misteri disebalik ucapan selamat maju jaya Zahid selepas Hamzah dicalon jadi PM

Harapandaily
Selepas menyatakan bahawa hak Menteri Besar Negeri Sembilan bukan milik mutlak Umno, terkini sekutu Pas dalam Perikatan Nasional (PN) pula mengangkat Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun respons Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cukup ringkas – mengucapkan “selamat maju jaya”.

Ahmad Zahid menyifatkan hasrat yang disuarakan Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, sebagai satu cita-cita politik yang wajar dihormati.

“Saya rasa itu satu cita-cita yang baik dan saya rasa itu mungkin satu usaha yang sangat-sangat disanjung oleh semua parti-parti politik di negara kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pekebun Kecil Peringkat Zon Tengah.

Saifuddin sebelum ini dalam sebuah podcast portal tempatan menamakan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri yang sesuai selepas PRU16.

Menurutnya, rakyat kini mahukan “wajah baharu” dalam kepimpinan negara dan bukan lagi tokoh lama yang pernah menerajui kerajaan.

Beliau berkata, Parti Wawasan Negara menawarkan konsep “konsensus nasional baharu” sebagai pendekatan segar dalam politik negara, dengan Hamzah dilihat antara pemimpin yang mampu memenuhi aspirasi tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid secara berseloroh mengucapkan selamat maju jaya kepada Saifuddin dalam usaha merealisasikan cita-cita politik berkenaan.

“Mudah-mudahan kita ucapkan selamat maju jaya kepada cita-cita besar Datuk Seri Saifuddin Abdullah itu sebagai Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara yang sedang muncul sebagai parti ‘new kid on the block’,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika Parti Wawasan Negara, yang kini menjadi sekutu Pas dalam PN, mula menampilkan Hamzah sebagai wajah utama gabungan berkenaan menjelang PRU16.

Shafie Apdal dihukum penjara 5 minggu, Hina mahkamah isu inkues Zara Qairina

Malaysiakini

Mahkamah Sesyen, Kota KInabalu hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima minggu ke atas Shafie Apdal selepas mendapati bekas ketua menteri Sabah itu menghina mahkamah berhubung kenyataan yang berkaitan dengan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Hakim Mahkamah Sesyen, Kota KInabalu, Amir Shah Amir Hassan, bagaimanapun, membenarkan permohonan presiden parti Warisan itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan berkenaan.

Amir memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap ahli Parlimen Semporna itu melampaui keraguan munasabah, sebelum mensabitkannya mengikut Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948.

Peruntukan itu membawa hukuman penjara sehingga enam minggu dan denda maksimum RM300, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Izhar, manakala Shafie diwakili peguam Jakariya Ab Jalil serta Chen Ket Chuin.

Pada September tahun lalu, Shafie ketika berucap pada satu acara di Kinabatangan dilaporkan menyifatkan kematian Zara Qairina sebagai ‘pembunuhan’ dan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dalam mengendalikan kes itu.

Kenyataan itu dibuat ketika inkues kematian remaja berkenaan masih berlangsung di hadapan Amir.

Pada 23 Oktober tahun lalu, peguam negara mendapat kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding terhadap Shafie,

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 17 Julai tahun lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar.

Inkues bagi menentukan punca kematiannya masih berjalan.

Bergelut ketika cuba pecah rumah, suspek maut akibat jantung tersumbat

Bernama

IPOH: Seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun meninggal dunia selepas terlibat dalam kejadian pecah rumah di Jalan Building Society, Taman Star di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Alwi Zainal Abidin, berkata siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 5 pagi apabila dua suspek memasuki rumah tersebut melalui tingkap yang diumpil, sebelum berlaku pergelutan dengan penjaga rumah.

“Seorang suspek dipercayai berjaya melarikan diri, manakala seorang lagi ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Hasil bedah siasat mendapati sebab kematian ialah masalah saluran jantung tersumbat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) dan siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan masih diteruskan, termasuk usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

Justeru, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadianitu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Ipoh menerusi talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran.