"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Shafie Apdal dihukum penjara 5 minggu, Hina mahkamah isu inkues Zara Qairina

Malaysiakini

Mahkamah Sesyen, Kota KInabalu hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima minggu ke atas Shafie Apdal selepas mendapati bekas ketua menteri Sabah itu menghina mahkamah berhubung kenyataan yang berkaitan dengan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Hakim Mahkamah Sesyen, Kota KInabalu, Amir Shah Amir Hassan, bagaimanapun, membenarkan permohonan presiden parti Warisan itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan berkenaan.

Amir memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap ahli Parlimen Semporna itu melampaui keraguan munasabah, sebelum mensabitkannya mengikut Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948.

Peruntukan itu membawa hukuman penjara sehingga enam minggu dan denda maksimum RM300, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P Kunyalam dan Nadia Izhar, manakala Shafie diwakili peguam Jakariya Ab Jalil serta Chen Ket Chuin.

Pada September tahun lalu, Shafie ketika berucap pada satu acara di Kinabatangan dilaporkan menyifatkan kematian Zara Qairina sebagai ‘pembunuhan’ dan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa dalam mengendalikan kes itu.

Kenyataan itu dibuat ketika inkues kematian remaja berkenaan masih berlangsung di hadapan Amir.

Pada 23 Oktober tahun lalu, peguam negara mendapat kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding terhadap Shafie,

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 17 Julai tahun lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar.

Inkues bagi menentukan punca kematiannya masih berjalan.

Tiada ulasan: