"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyokong Ali Rustam Persoal Keputusan Parti

Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam masih bertegas beliau tidak melanggar peraturan pemilihan UMNO sehari selepas Lembaga Displin parti melarangnya bertanding jawatan timbalan presiden atas kesalahan terbabit dalam rasuah politik.

Ali Rustam berkata beliau akan menyerahkan surat rayuan terhadap keputusan itu kepada Lembaga Displin, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak.

Bercakap pada sidang media di Melaka, Ali Rustam berharap rayuannya akan diterima untuk membolehkan beliau terus bertanding pada pemilihan parti minggu depan.

Ketua Menteri Melaka itu dilihat sebagai pilihan utama untuk jawatan Timbalan Presiden Umno yang membawa hadiah kerusi Timbalan Perdana Menteri. Ali Rustam dilihat sebagai mampu mengalahkan saingan Muhyiddin Yassin yang disifatkan sekutu utama Najib.

Penyokong Ali Rustam melihat keputusan Lembaga Displin itu didalangi oleh pihak tertentu untuk memastikan pemilihan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO, sebagaimana yang diinginkan oleh Najib.

Sidang akhbar oleh Mohd Ali dihadiri isteri beliau, Asmah Abdul Rahman, pemimpin Umno Melaka serta penyokongnya.

Ditanya mengenai perasaan beliau berhubung keputusan Lembaga Displin, Ali Rustam berkata: "Saya telah tegaskan kepada Jawatankuasa Lembaga Disiplin bahawa saya tidak bersalah tetapi jawatankuasa mendapati saya bersalah, jadi saya terima dengan hati terbuka".

Mohd Ali turut memohon maaf kepada penyokongnya dan meminta mereka supaya bertenang dan bersatu demi perpaduan parti.

Malam tadi, kira-kira 150 penyokongnya menemui Perdana Menteri setibanya dari Indonesia untuk meminta beliau mempertimbangkan keputusan melarang Mohd Ali daripada bertanding.

Kumpulan penyokong Mohd Ali itu merangkumi ahli dari Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak dan Pulau Pinang.

Ketua Umno Bahagian Batu Gajah Mohd Yusoff Kassim memberitahu pemberita, dalam pertemuan hampir 20 minit itu, Abdullah berjanji memikirkan perkara itu dan akan menemui Ali Rustam hari ini.

Mohd Ali didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga.

Lembaga Displin memutuskan bahawa Mohd Ali bertanggungjawab terhadap tindakan tiga ejennya yang didapati bersalah melakukan rasuah dan sogokan politik.

Mereka ialah Saadun Basirun, Rosli Hasan dan Zalina Ismail. Saadun dan Rosli adalah ahli jawatankuasa Umno Bahagian Bukit Katil.Manakala Zalina adalah Naib Ketua Puteri Umno ahagian yang sama.

Ketiga-tiga mereka digantung keahlian selama satu penggal atau tiga tahun berkuatkuasa 12 Mac lalu.

Namun Ali Rustam sendiri tidak digantung keahliannya. Beliau juga kekal naib Presiden UMNO dan Ketua Menteri Melaka walaupun didapati bertanggungjawab atas tindakan tiga ejennya itu menyogok wang.

Keputusan mengekalkan keahlian Ali Rustam dalam UMNO dan kerajaan sekali lagi memperlekehkan jaminan Najib Razak, kononya parti itu akan bertindak berani dan adil dalam menangani rasuah politik dalaman dan dalam kerajaan.

Ahli UMNO dan orang ramai tentunya sukar menerima langkah Lembaga Displin untuk hanya memberikan amaran kepada Khairy Jamaluddin walaupun beliau juga didapati bersalah mengikut peraturan yang sama. Alasan yang diberikan ialah kesalahan yang membabitkan Ahli Parlimen Rembau itu, tidak seberat kes Ali Rustam.

Jaminan Najib kononnya UMNO serius membendung rasuah politik sukar diterima oleh akar umbi parti dan rakyat.

Hakikat ialah Najib bingkas bertindak tetapi cuma apabila tindakan itu menguntungkan beliau atau sekutunya. 

 --------------------

Keputusan melarang Ketua Menteri Melaka Ali Rustam daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno atas dakwaan rasuah politik adalah permainan politik bagi mencantas penyokong Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, kata bekas Menteri Undang-Undang, Zaid Ibrahim.

"Kita tahu politik wang sudah menjadi satu perkara yang biasa dalam Umno. Jadi nak guna tribunal ini untuk tangkap mereka yang guna politik wang adalah tidak munasabah kerana lembaga ini tidak ada kemampuan untuk menyiasat sebaik-baiknya dan tidak ada kemampuan untuk berbuat perhitungan yang wajar dan adi, " kata Zaid.

"Kita lihat tribunal ini diguna untuk tujuan politik terhadap individu tertentu terutamanya orang-orang Pak Lah," tambah Zaid.

Beliau berkata antara yang menjadi sasaran kempen mencantas itu ialah calon Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang juga merupakan menantu kepada Abdullah.

Tambah Zaid apa yang berlaku kepada Mohd Ali boleh disifatkan sebagai pendakwaan selektif dan perbuatan ini boleh merosakkan Umno.


-TVAntara.com.my-


Tiada ulasan: