"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Susulan Lima Pemimpin UMNO Negeri Terlibat Politik Wang, Bahagian Paya Besar Gesa Agar Menteri Besar Pahang Meletakkan Jawatan


KUANTAN [7.45 pm] - Susulan lima pemimpin UMNO Pahang dikenakan tindakan oleh Lembaga Displin UMNO semalam, nampak kemelut parti itu kini semakin bertambah parah pula. Ia berikutan tindakan Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman yang menggesa supaya Menteri Besar Pahang Dato' Seri Adnan Yaakob (foto) meletakkan jawatan bagi mengambil tanggungjawab tersebut. Ini kerana daripada lima yang terlibat empat daripadanya adalah merupakan Wakil Rakyat. Tambahan pula ia melibatkan bahagian yang sama iaitu Paya Besar yang diketuai olehnya. Ahmad Tajuddin yang juga merupakan bekas ADUN Lepar menyelar penglibatan pemimpin UMNO bahagian itu yang secara tidak langsung menjejaskan imej serta maruah parti berkenaan. Semalam Lembaga Disiplin UMNO memutuskan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail digantung selama setahun, Ketua Pemuda Maran Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi digantung keanggotaan selama tiga tahun manakala Timbalan Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (ADUN Sg.Lembing), Naib Ketua UMNO Bahagian Paya Besar Mohd Shohaimi Jusoh (ADUN Lepar)dan Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Paya Besar Mohd Zaili Besar (ADUN Panching) telah diberikan amaran semalam.

Menurut Ahmad Tajuddin, semua pemimpin terbabit sebenarnya mendapat "lesen" daripada Menteri Besar selaku Ketua Perhubungan UMNO Negeri untuk melakukan aktiviti rasuah tersebut. Tambahan pula dipercayai Datuk Manan adalah merupakan "proksi Adnan". Namun, beliau akhirnya ditewaskan oleh Ahmad Tajuddin yang sebelum ini telah mencetuskan kontroversi apabila meletakkan jawatan beliau selakuSetiausaha Perhubungan UMNO Negeri Pahang. Malah beliau selepas itu telah banyak membuka "fail-fail sulit" tentang penjualan tanah-tanah milik UMNO kepada bangsa lain seperti yang pernah disiarkan oleh media arus perdana sebelum ini. Beliau khabarnya tidak berpuas hati dengan MB kerana "memancung" karier politik beliau yang semakin memuncak. Tindakan Adnan yang memberikan kerusi DUN Lepar kepada calon lain amatlah tidak disenangi oleh Ahmad Tajuddin. Beliau akhirnya merangka strategi untuk memalukan Menteri Besar Pahang itu. Hasilnya, beliau menang dalam perebutan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian terbabit. Ini memalukan Adnan dan amat mengecewakan Manan yang merupakan Ahli Parlimen kawasan terbabit. Kini wakil rakyat itu tidak memiliki sebarang jawatan lagi dalam UMNO bahagian Paya Besar setelah ditumpaskan oleh Ahmad Tajuddin dalam pemilihan lalu.

[Apakah tindakan Ahmad Tajuddin ini menggambarkan sudah mula wujudnya perpecahan besar dalam UMNO Pahang agaknya. Kami masih menantikan jawapan jujur dari Menteri Besar Pahang tentang desakan yang dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Paya Besar ini. Kami melihat Ahmad Tajuddin kini seolah-olah sudah mendapat "lampu hijau" daripada pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan kepimpinan Adnan Yaakob. Jika beliau tidak berhati-hati dan membiarkan senario ini terus berlaku maka kempimpinan Adnan bakal berhadapan dengan masalah yang lebih besar selepas ini. Keretakan yang berlaku ini bakal membuka ruang untuk Pakatan Rakyat terus "mengganyang" UMNO Pahang sebenarnya. Bahkan kami juga sedang menyiasat beberapa perkara dan fail yang melibatkan Ahmad Tajuddin untuk didedahkan dalam masa terdekat ini].   

 http://pahangdaily.blogspot.com/

Tiada ulasan: