"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS beri sokongan penuh, komited bantu calon Bukit Selambau

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Hrkh) - PAS Kedah akan bekerja keras bagi memastikan calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), M Manikumar memenangi pilihan raya kecil Bukit Selambau pada 7 April depan.

Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS Bukit Selambau, Senator Yusop Hussin berkata, gerak kerja dan semangat yang dilakukan PAS seolah-olah PAS juga bertanding walaupun hakikatnya KeADILan yang bertanding.

"Persediaan kita bukan hanya turun berkempen tetapi akan berhempas pulas seolah-olah PAS yang bertanding kerana kita mahu perkukuhkan lagi kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.

"Setakat ini kempen PAS berjalan seiring dengan KeADILan malah kita membentuk jawatankuasa bersama termasuk jawatankuasa penyelaras dan kami semua sudah bergerak," katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah berkata, walaupun majoriti pengundi India dan Cina 50 peratus, calon Pakatan Rakyat mempunyai harapan untuk menang ditambah sokongan pengundi tradisi PAS di Bukit Selambau.

"Kerana itu tidak ada masalah untuk pertahankan kerusi itu, apatah lagi calon yang dikemukakan oleh KeADILan seorang penduduk tempatan.

"Bahkan mana-mana pengundi yang masih belum mengenali Manikumar kami akan perkenalkan. Rasanya semua berpuas hati dengan calon tersebut yang merupakan seorang yang berkemampuan dari segi kemasyarakatan dan akademik," ujarnya

Beliau berkata, pada kempen kali ini mereka akan memperjelaskan kepada rakyat apa yang dilakukan kerajaan Kedah yang diterajui PAS sejak setahun lalu.

Antaranya tentang penurunan cukai tanah yang diturun sehingga 75 peratus yang dapat dinikmat seluruh rakyat Kedah, katanya.

Oleh itu ujarnya, bagi mengukuh kerajaan yang ada para pengundi perlu memberi sokongan kepada calon Pakatan Rakyat.

"Sekarang ini Bukit Selambau satu-satunya calon yang mewakili kaum India bagi negeri Kedah. Jadi kemenangannya akan mewakili seluruh kaum India di Kedah.

"Kita juga melihat kemungkinan jika calon Pakatan Rakyat menang beliau akan berada dalam exco kerajaan Kedah. Lagi pun exco yang dikosongkan Adun dahulu iaitu V Arumugam masih belum diisi," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tugas jentera pilihan raya Pakatan Rakyat, beliau berkata setakat ini mereka mengagihkan kesemua 22 daerah mengundi sama banyak iaitu seorang sebelas daerah.

Bagaimana katanya, PAS menjaga lebih 24,000 pengundi manakala KeADILan seramai lebih kurang 12,000 pengundi.

"Biarpun PAS lebih ramai bilangan pengundi berbanding KeADILan, ia tidak mengapa bahkan ini menunjukkan kita bekerja seperti kita yang bertanding.

"Kita buat begitu, demi kepentingan kerajaan Pakatan Rakyat," ujarnya.

Kerjasama erat itu katanya, akan dipertingkatkan terutamanya untuk menarik lebih kurang 1600 pengundi Melayu yang tidak keluar mengundi pada pilihan raya umum 2008 lalu.

Sehubungan itu katanya, jentera pilihanraya PAS akan berusaha untuk memasti pengundi tersebut keluar mengundi kerana katanya undi mereka akan menguatkan lagi kerajaan Kedah di bawah pimpinan Dato' Seri Azizan Razak.

Tiada ulasan: