"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Diharap Jeff Ooi tak jadi macam Geert Wilders

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT

DALAM syarahan "Semua Yang Anda Ingin Tahu Tentang Islam (Tetapi Takut Untuk Bertanya)", bertempat di Rockefeller Hall, Cornell University, New York, Amerika Syarikat pada tahun 2006, seorang penuntut PhD bernama Omer Bajwa menjelaskan: "Islam adalah agama paling pesat berkembang di dunia. Terdapat 1 bilion umat Islam di seluruh dunia dan tujuh juta daripadanya di Amerika Syarikat. Begitupun, masih ramai bukan Islam mendapat gambaran salah tentang Islam."

Bajwa menyampaikan syarahannya dalam satu majlis Minggu Kesedaran Islam Cornell 2006 berikutan daripada penerbitan karikatur tentang Muhammad s.a.w. oleh akhbar Belanda Jyllands Posten pada September 2005.

Menurut Bajwa, pertembungan di antara umat Islam dan bukan Islam kerana kebanyakan orang bukan Islam tidak memahami elemen jihad dan hijab dalam Islam yang mana kedua-duanya telah disensasi dan diputarbelitkan oleh media Barat.

Terbaru yang menjadi mangsa dan menyerahkan daya keintelektualan bulat-bulat kepada putar belit dan dakyah Barat mengenai Islam ini adalah ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi.

Dengan nada agak emosional beliau mempertikai Mohd Razali Abdullah, Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang dengan menuduh dan melabelnya sebagai 'Muslim Extremist' kerana hanya menganggotai Jemaah Islam Malaysia (JIM) yang pada fahaman ahli Parlimen berkenaan semata-mata "to develop Malaysia into a country which fully adopted Syariah Law by 2020".

Barangkali Jeff Ooi tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata 'Muslim Extremist' atau ekstremis Islam. Barangkali kepada minda beliau, apabila ada sesuatu pertubuhan berobjektifkan cita-cita menegakkan hukum Islam dalam sesebuah negara, maka itu, pada hemat beliau sudah boleh dianggap sebagai sesuatu yang ekstremis.

Barangkali juga Jeff Ooi berkongsi persepsi 'ideologi keganasan' yang didakyah dan dipropagandakan kepada mereka yang mudah dan cepat terpengaruh kepada apa sahaja yang disogokkan oleh media Barat serta pembawa panji-panji kebencian dan kebimbangan terhadap Islam ini di seluruh dunia.

Mengapa tidaknya. Bajwa cuma menyebut jumlah umat Islam melebihi 1 bilion tetapi menurut anggaran terkini terdapat di antara 1.5 sehingga 1.8 bilion umat Islam. Malah jika jumlah konservatif 1.5 bilion diterima sebagai jumlah umat Islam di seluruh dunia, maka jumlah umat Islam hanya kurang kira-kira 600 juta daripada penganut agama Kristian seluruh dunia dan jumlah ini bermakna 23 peratus daripada seluruh penduduk dunia adalah umat Islam.

Menurut Pew Forum on Religion & Public Life, pada tahun 2006 negara di mana umat Islam merupakan penduduk majoriti mencatatkan purata kadar pertambahan 1.8 peratus setahun berbanding kadar pertambahan penduduk dunia 1.12 peratus setahun. Berdasarkan hakikat ini, Islam diklasifikan sebagai agama yang paling pesat berkembang di dunia.

Carnegie Endowment for International Peace, Pangkalan Data Kristian Dunia pada tahun 2007 menganggarkan perkembangan paling pesat dari segi peratusan di antara lima agama terbesar ialah agama Islam.

Dengan perkembangan sahih seperti ini sudah tentulah ada kebimbangan nyata dari Barat terhadap agama Islam. Persoalan yang berlegar di minda Barat termasuklah: Apa akan berlaku sekiranya Islam mengambil alih tempat pertama daripada tempat kedua yang didudukinya kini, sebagai agama paling ramai penganutnya menggantikan agama Kristian?

Bagi umat Islam sendiri dan umat Kristian serta penganut-penganut agama lain, agama mana sekalipun yang mempunyai pengikut paling ramai tidak menimbulkan sebarang masalah untuk hidup bersama dalam dunia moden hari ini.

Yang sebenarnya menimbulkan masalah adalah ahli-ahli politik Barat yang takut kepada bayang-bayang dan sengaja menimbulkan huru-hara dan berlaku tidak adil terhadap negara Islam dengan harapan ada kumpulan Islam tertentu akan mengambil tindakan ganas terhadap bukan-Islam.

Strategi Barat yang mencetuskan keganasan inilah yang digunakan oleh Barat bagi melahirkan istilah 'Muslim Extremism' atau Ekstrimism Islam yang sebenarnya tidak pernah wujud sebelum ini dan tidak wujud sama sekali dalam Islam.

Sebagaimana yang ditegaskan Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi, Ketua Pemuda Pas Pusat sebagai respons kepada kenyataan Jeff Ooi, cita-cita untuk melaksanakan syariat Islam adalah menjadi asas dan prinsip seorang Muslim dan pergerakan Islam.

Oleh itu bagaimanakan cita-cita seperti ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang bersifat ekstrim? Malah sekiranya benarlah sebagaimana yang dihasratkan JIM dan Malaysia mengamalkan undang-undang syariah sepenuhnya pada tahun 2010 atau pada bila-bila masa sekalipun, tidak akan ada sesiapa yang akan teraniaya.

Sebagaimana mana yang diulangi Ustaz Nasrudin: "Islam itu adil untuk semua. Justeru, cita-cita atau prinsip tersebut tidak membawa maksud ia ekstrim sebagaimana yang didakwa."

Namun apapun, sebagaimana yang disebut, mangsa propaganda media Barat dan mereka yang dengan mudah menyerah diri kepada dakyah dan propaganda seperti ini adalah ramai termasuk mereka yang berselindung dalam selimut kesetiakawanan politik.

Sejauh ini umum sedia maklum Jeff Ooi adalah seorang yang berfikiran kritis terhadap pelbagai isu membabitkan negara dan rakyat. Pandangannya banyak yang dihormati oleh umat Islam sendiri.

Oleh itu, adalah diharapkan agar beliau mengorientasikan semula kefahamannya terhadap Islam di samping menerima nasihat Ustaz Nasrudin: "YB Jeff Ooi dinasihatkan dan diperingatkan gar tidak keterlaluan dalam kenyataan dan tindakan yang boleh menyinggung perasaan umat Islam dan tidak bersikap prejudis terhadap Islam."

Kita yakin ahli Parlimen Jelutong itu mungkin terlajak kata. Lebih penting lagi kita berharap penggal pertamanya sebagai wakil rakyat tidak menghairahkan beliau untuk menuruti jejak langkah ahli Parlimen Belanda Geert Wilders yang gemar memprovokasi umat Islam demi populariti politik.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan: