"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Yusri: Saya tidak dipergunakan oleh PAS

Yusri Isahak - bekas rakan kongsi firma guaman calon BN, Rohaizat Othman - menafikan bahawa beliau dipergunakan oleh PAS dalam kempen pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir.

"Saya muncul adalah untuk membersihkan nama saya. Ada pihak mendakwa saya memihak kepada PAS, didesak dan dipergunakan oleh PAS, saya nafi sekeras-kerasnya.

"Saya ke pentas PAS adalah atas kehendak hati saya sendiri," kata Yusri dalam ceramah PAS di di hadapan Kedai Asri di Permatang Tengah malam tadi.

Beliau menggunakan pentas ceramah dalam pilihanraya kecil tersebut untuk membersihkan namanya yang didakwa bertanggungjawab berhubung isu penyelewengan wang Koperasi Pekebun Getah Pulau Pinang.

Yusri menolak dakwaan Umno bahawa beliau adalah rakan kongsi yang menyebabkan calon BN Rohaizat Othman dibatalkan lesen gumannya oleh Majlis Peguam.

Sambil menyifatkan sebagai satu pembohongan dakwaan Umno bahawa Rohaizat tidak terlibat dan tidak tahu menahu berhubung transaksi wang koperasi itu.

Walaupun Yusri muncul sekadar lima minit tetapi penjelasannya berhubung dakwaan Umno yang dia bertanggungjawab menyebabkan lesen guaman Rohaizat dibatalkan oleh Majlis Peguam, mampu menarik kira-kira 80 orang ramai yang berada di tepi-tepi jalan dan di gerai makan sekitar tempat ceramah tersebut.

Dikawal ketat

Pada masa yang sama, ceramah itu juga diawasi oleh kira-kira 20 anggota polis sedang berkawal di situ.

Dalam ceramahnya, Yusri berkata beliau "sebak dan tidak sanggup" untuk menyatakan rakan baiknya itu - yang dikenalinya pada 1989 sejak di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) - seorang tidak baik.

"Kami tinggal sebilik di universiti. Esok kita berpuasa, terkenang saya sewaktu kami bersahur dan bertadarus bersama-sama. Dia seorang yang kuat semangat.

"Nak kata dia tak baik, tak sampai hati. Apa yang dicakapkannya adalah bukan datang dari sepenuh hatinya. Rakan saya dipergunakan untuk mencapai kepentingan mereka.

"Terserahlah kepada pengundi untuk menilainya," katanya sewaktu mengakhiri ucapannya itu.

Yusri terpaksa beredar lebih awal kerana dipercayai bergegas ke tempat ceramah yang lain.

Beliau turut dikawal ketat oleh kira-kira enam orang bagi menjaga keselamatannya.

Kempen mansuh PPSMI

Sementara itu, rancangan Sasterawan Negara A. Samad Said untuk berceramah di situ terpaksa dibatalkan kerana beliau keletihan.

Ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi, tokoh sasterawan yang mesra dengan panggilan Pak Samad itu, menjelaskan beliau terpaksa membatalkan hasratnya itu kerana sebelum itu beliau telah berceramah di lima tempat dan yang terakhir di Kampung Pelet.

Sebelum ini, beliau dilaporkan bercadang untuk berceramah berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) agar dasar tersebut dimansuhkan segera.

Manakala AJK PKR Pulau Pinang, Johari Kassim berkata kecenderungan pengundi Cina untuk bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat, membuktikan mereka juga yakin dasar parti itu diterima oleh semua kaum.

"Dulu susah nak tengok orang Cina bawa bendera PAS. Mereka takut. Sekarang mereka sudah yakin. Kita nak bawa politik baru dalam masyarakat," katanya sambil menambah, kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng turut membela Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu dengan memberi bantuan kepada SAR.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi di situ supaya mengundi calon PAS Mohd Salleh Man bagi memastikan kerajaan Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim terus kukuh.
-malaysiakini.com-

Tiada ulasan: