"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRK DUN Pmtg Pasir: Mohamad Sabu yakin penuh dengan Salleh Man

Hazayani Zakaria

PERMATANG PASIR, 20 Ogos: Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu yakin penuh dengan kewibawaan calon Pakatan Rakyat dari parti itu di Permatang Pasir, Ustaz Salleh Man.

Beliau berkata, ciri-ciri dan rekod bersih yang ada pada diri Salleh melayakkan beliau untuk bertanding mewakili parti di Dun berkenaan.

"Ustaz Salleh Man ni sesuai sangatlah nak jadi calon dewan undangan negeri. Dia golongan ustaz, golongan yang rajin nsya Allah lah, kenduri, mati tu dia akan sampailah kalau dia ada dalam kawasan," katanya dalam satu ceramah di Bukit Indera Putera, di sini malam tadi.

Selain Salleh Man, Mohamad Sabu adalah antara pemimpin PAS yang disenaraikan sebagai calon untuk Permatang Pasir. Namun, Harakahdaily difahamkan beliau telah menolak dan memberikan sokongan penuh kepada Salleh untuk menjadi calon.

"Dia ni saya berkenan dengan dia, dia seorang yang istiqamah. Dia yakin dengan perjuangan. Keluar dari universiti Malaya dengan ijazah Sarjana Muda Syariah, terus menyertai PAS. Bertanding pada usia umur 20-an sampailah umur 52,"ujarnya.

Ini katanya berbeza dengan calon taruhan Barisan Nasional, Rohaizat Othman yang mempunyai kes salahguna kuasa sehingga dilayangkan kad merah oleh Majlis Peguam.

"Kita tengok keadaan ni kita yakinlah berbanding calon belah sana (Umno). Saya tak mahu sentuh hal peribadi tapi bersangkut dengan perkara umum ni, kita kena sentuh."

ImageBercakap di hadapan lebih 500 orang yang hadir,beliau berkata PAS tidak sekali-kali mahu menyerang peribadi pihak lawan namun tegasnya sudah jelas Rohaizat mempunyai rekod yang tidak bersih sehingga dipertikai oleh ahli veteran Umno sendiri.

Beliau merujuk kepada bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang turut mempertikaikan pemilihan Rohaizat di Dun Permatang Pasir.

Veteran Umno itu dalam blognya semalam menulis calon yang dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya mesti mempunyai rekod yang bersih kerana umno meminta rakyat meletak kepercayaan kepadanya sebagai ketua mereka.

Namun beliau sedih apabila calon yang dipilih Umno mempunyai rekod yang tidak baik.

"Calon belah sana tu bukan kita pertikai. Kita tak pertikai...hak dia.Soalnya dia diberi kad merah oleh Bar Council (Majlis Peguam) ertinya dibuang," kata Mohamad Sabu.

"Hari ni pulak Tengku Razaleigh Hamzah mempertikaikan kenapa pilih calon ini. Dia kata ini menyebabkan orang lihat umno macam tak ada calon. Saya tak kenal secara peribadi calon ni. Tapi, kalau Tengku Razaleigh pun pertikai, saya nak kata apa."

Tengku Razaleigh adalah anggota Parlimen Gua Musang. Dia pernah menjadi Menteri Kewangan dan bekas naib presiden Umno. Beliau pernah bertanding merebut jawatan presiden Umno dan hanya kalah 43 undi sahaja di tangan Tun Dr Mahathir.Image

Bagi Mohamad, pemilihan Rohaizat 'yang bermasalah' itu menunjukkan adanya masalah dalaman Umno di peringkat negeri itu.

"Apa yang dituduh terhadap beliau iaitu pecah amanah lebih kurang RM140 ribu terhadap pelanggan dia. Kalau calon seperti ini diketengahkan hadirin sekalian kita nampak Umno Pulau Pinang ni hadapi masalah besarlah."

Pada 7 Mac 2008, Majlis Peguam telah membatalkan lesen guaman Rohaizat, kerana dikaitkan dengan kes pecah amanah wang anak guamnya.

Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan mengumumkan, status peguam Rohaizat ditarik balik (struck off) berdasarkan Bahagian 103D Akta Guaman 1976 atas kes penyelewengan wang. Sehunungan itu Rohaizat membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi pada 12 Ogos lalu namun ditolak mahkamah.

Dalam borang penamaan calonnya pada Isnin lalu, Rohaizat juga tidak meletakkan kerjayanya sebagai peguam tetapi meletakkan ahli perniagaan sebagai kerjayanya, sama seperti calon PAS, Ustaz Salleh Man.

Namun Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin dilihat bermati-matian membela Rohaizat. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan akan memberikan penjelasan yang betul dan tidak akan berbohong kepada pengundi selain meminta Rohaizat membuat kenyataan bersumpah bagi menjelaskan isu tersebut.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan juga kelihatan bersungguh membela Rohaizat mengulangi dakwaan para pemimpin Umno bahawa Rohaizat tidak terlibat dalam sebarang transaksi jual beli tanah yang diuruskan oleh rakan kongsinya bagi pihak Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang Berhad.

Beliau sebaliknya mendakwa Rohaizat menjadi mangsa keadaan setelah rakan kongsi beliau meninggalkan firma berkenaan di mana beliau terpaksa memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan rakannya itu.

"Muhyidin kata BN tak akan bohong untuk dapat undi. Hari ni depa bohong kata partner calon ini yang salah. Sebenarnya Bar Council pecat calon ini, bukan partner dia," ujar Mohamad.

Dalam ceramah yang turut disertai oleh calon PAS, Ustaz Salleh Man, dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr.Mansor Othman itu, Mohamad menyeru agar para pengundi membuat pemilihan yang tepat dan berfikir sebelum memilih wakil mereka di Dun Permatang Pasir.

Tiada ulasan: