"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan KPI Naik Tapi Sokongan Merudum

A Kadir Jasin

APABILA pengurangan peruntukan belanjawan (budget) menjejas perbelanjaan makan pelajar asrama sekolah kerajaan, saya rasa kita perlu mula berasa bimbang.Bukan apa, tetapi yang selalu kita dengar dilaungkan ialah rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan

Jadi apabila yuran makan asrama dinaikkan atas alasan kerajaan mengurangkan peruntukan pelajaran dalam Belanjawan 2010, saya jadi bingung.

Yang mana satu diutamakan -- rakyat jelata atau pencapaian kewangan kerajaan?

Bukan kerana jumlah sebenar iaitu daripada RM1 kepada RM3 sehari, tetapi daripada sudut kuantum dan prinsip. Daripada aspek kuantum, ia adalah besar – dua kali ganda. Daripada sudut prinsip pula, ia macam terbalik. Kerajaan kurangkan peruntukan dan rakyat jelata kena tanggung beban.

Soal hanya ibu bapa dan penjaga berpendapatan lebih RM5,000 sebulan saja yang kena bayar kadar baru itu bukan isu pokok. Mungkin RM3 sehari tidak besar bagi mereka tetapi kita kena ingat, mereka juga dikenakan cukai pendapatan yang lebih tinggi.

Inilah yang saya fahami apabila membaca laporan Bernama yang memetik Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan Zulkurnain Awang sebagai berkata langkah kementerian menaikkan yuran makan bagi pelajar asrama daripada RM1 kepada RM3 sehari mulai tahun depan merupakan antara strategi untuk mengurangkan bajet bagi tahun depan.

Katanya, "Melalui cara ini kita dapat mengurangkan perbelanjaan memandangkan peruntukan bajet dalam bidang pendidikan dikurangkan tahun depan.”

Dalam bahasa yang mudah, oleh kerana kerajaan kurangkan peruntukan pendidikan dalam Belanjawan 2010, maka bebannya dipindahkan kepada ibu bapa dan penjaga.

Kemudian dia berkata: “Bahkan banyak lagi perkara lain yang boleh diteliti untuk dikurangkan di masa depan seperti berjimat pada benda-benda yang tidak memberi kesan tinggi dalam bidang pendidikan."

Tidak tahulah saya, tetapi bukankah lebih elok diteliti dulu benda-benda lain yang boleh dijimatkan sebelum memindahkan beban pengurangan peruntukan kepada ibu bapa dan penjaga?

Maaf cakaplah, kadang-kadang saya mendapati sukar memahami dan menrasionalisasikan antara ikrar pemerintah dan para pesuruhnya dengan apa yang dilakukan.

Saya kurang pasti masa ada mereka tidak komited kepada apa yang mereka ikrarkan atau mereka tidak tahu bagaimana melaksanakannya. Atau mereka tidak tahu berhujah.

Bertambah lagi kebimbangan saya apabila membaca kenyataan Zulkurnain Awang seterusnya iaitu pengurangan peruntukan tahun depan “tidak akan menjejaskan keseluruhan kualiti dan perkhidmatan oleh kementerian dalam bidang pendidikan.”

Maksudnya kualiti dan perkhidmatan bidang pendidikan akan terjejas cuma tidak keseluruhannya.

Zulkurnain berkata demikian ketika diminta oleh wartawan mengulas kenaikan yuran makan asrama yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Alimuddin Mohd Dom sebelum itu.

Saya rasa lebih baik pemerintah mengutamakan pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial yang lain daripada bercakap hendak mengganti pesawat perang, mengubahsuai kediaman rasmi dan seumpamanya.

Berapa banyak sangatlah pendapatan dengan menaikkan yuran makan itu berbanding kesan psikologi dan perhubungan awam?

Bukan apa, takut-takut KPI menteri dan pegawai naik tapi sokongan rakyat merudum.

Kalau boleh, fikir balik la kot!

http://kadirjasin.blogspot.com/

Tiada ulasan: