Alias Abd Rani

Sapuan Abidin dipenjara 14 bulan selepas mengaku curi dan pecah tabung surau. Foto NSTP
BATU PAHAT: Seorang lelaki yang tular kerana mencuri dan merosakkan tabung derma surau, bulan lalu dipenjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Yong Peng, di sini, hari ini.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap Sapuan Abidin, 29, selepas mengambil kira empat rekod lampau serta pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan oleh tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja kebun itu didakwa cuba mencuri wang tabung derma surau dan didakwa mengikut Seksyen 380, dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi kesalahan itu ialah penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan tabung derma milik Surau Kampung Parit Bingan yang menyebabkan kerugian RM45.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dengan kesemua kejadian itu berlaku di Kampung Parit Bingan, Parit Raja, dekat sini, pada jam 5.28 petang, 24 Mac lalu.
Menurut fakta kes, pengadu berusia 57 tahun yang juga pengawal keselamatan membuat laporan selepas mendapati kunci tabung surau dipecahkan oleh individu tidak dikenali.
Pemeriksaan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki tidak dikenali mengumpil kunci tabung menggunakan pemutar skru. Bagaimanapun, cubaan tertuduh gagal mengeluarkan wang dari tabung terbabit.
Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan tertuduh pada jam 12.30 tengah hari, 9 April lalu di Kluang. Tertuduh kemudiannya memandu arah polis ke sebuah stor yang menempatkan pakaian dipakai ketika melakukan jenayah, pahat serta pemutar skru.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Shariff.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM1,500.
Bagaimanapun, tertuduh dikenakan tambahan penjara dua bulan kerana gagal membayar denda itu.
Manakala pertuduhan kedua, mahkamah memutuskan penjara setahun dengan kesemua hukuman berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh ditangkap, 9 April lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan