"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

“Rasa Lubang Di Kepala AminulRasyid” – Azamuddin

SALWA SHA’ARI
SHAH ALAM: Rakan kepada AminulRasyid Amzah pada awalnya menyangka pelajar tingkatan tiga itu berpura-pura pengsan disebabkan takut kerana dikejar dan ditembak oleh kereta peronda polis.

Mohd Azamuddin Omar, 15, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini Isnin, dia hanya menyedari AminulRasyid cedera apabila cuba mengejutkan rakan yang dikenalinya selama 10 tahun itu.

"Waktu saya kejutkan dia, saya pegang bahagian kepala dan saya rasa ada darah. Saya juga rasa ada kesan lubang peluru di kepalanya,” kata Mohd Azamuddin.

Dia yang disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani menambah, kereta Proton Iswara BET 5023 tetap bergerak walaupun AminulRasyid telah ditembak menyebabkan mereka terlanggar tembok sebuah rumah.

Saksi pendakwaan ke-29 seterusnya memberitahu, semasa kejadian itu fikirannya bercelaru sama ada mahu menyerahkan diri kepada polis ataupun melarikan diri daripada tempat kejadian.

Mohd Azamuddin menambah, dia tercampak keluar menerusi tingkap yang retak semasa cuba menarik tali beg silangnya yang tersangkut di bahagian brek tangan kereta yang menggunakan gear automatik.

"Saya terjatuh ke dalam longkang dan saya perasan polis sudah mengepung saya. Saya mahu serah diri. Saya perasan seorang polis menyepak kepala saya.

"Saya juga dipukul dan saya agak oleh lima orang polis," katanya.

Mengimbas kejadian yang berlaku, Mohd Azamuddin seterusnya memberitahu, entah bagaimana dia dapat melarikan diri daripada anggota polis tersebut.

"Saya rasa macam salah seorang polis sedia nak tembak saya, Dia beri amaran untuk saya berhenti dalam kiraan 3 tetapi saya terus berlari.

"Dalam masa kiraan 3, sebuah kereta peronda polis masuk ke kawasan itu dan menghalang pandangan polis yang memberi amaran itu," katanya.

Menurutnya, dia terus pulang ke rumah dan membasuh baju serta seluar yang dipakainya kerana terdapat darah AminulRasyid.

"Saya fikir tidak mahu terlibat dalam kes ini. Pada pukul 6.30 pagi, saya bangun seperti biasa mahu ke sekolah dan saya bungkuskan baju serta seluar ke dalam plastik untuk dibuang," tambahnya. Beg plastik itu kemudiannya diserahkan kepada seorang rakan, Mohd Zubir Salleh, 15, semasa di sekolah untuk disimpan.

Mohd Azamuddin yang dipanggil sebagai saksi pada sidang sebelah petang juga tidak dapat menahan kesedihan apabila diminta untuk mengecamkan AminulRasyid menerusi gambar bedah siasat.

Dia yang melihat gambar itu selama beberapa saat terus mengesatkan air mata. Walaupun cuba untuk tidak menangis, saksi gagal lantas memohon diberikan masa untuk menenangkan diri.

Hakim Latifah Mohd Tahar membenarkan perbicaraan ditangguhkan selama 10 minit dan seorang jurubahasa mahkamah memberikan tisu kepada Mohd Azamuddin.

Terdahulu, saksi memberitahu, dia dan AminulRasyid keluar melepak di Restoran Day & Night Circle, Seksyen 11, di sini.

"AminulRasyid ajak saya melepak. Selalunya bila ayah saya ada di rumah, dia kongkong saya dan tidak benarkan saya keluar.

"“Waktu itu ayah saya tidak ada di rumah kerana bertugas. Pada pukul 12 tengah malam, saya curi-curi keluar," katanya. Keterangan lain, Mohd Azamuddin berkata, itu merupakan kali kedua dia melihat AminulRasyid membawa kereta. Kali pertama ialah semasa AminulRasyid belajar membawa kereta daripada seorang rakan.

Kata saksi lagi, mereka keluar ke Seksyen 7 untuk membantu seorang rakan sebelum kereta mereka bergesel dengan sebuah kereta menyebabkan AminulRasyid ketakutan.

"Dia kata tidak mahu berbincang dengan pemilik kereta. Waktu itu AminulRasyid dalam ketakutan. Dia kata nak bawa pulang kereta kakaknya dan mahu berjumpa ibunya," katanya.

Tambah Mohd Azamuddin, AminulRasyid memandu kereta dengan laju, iaitu antara 100 dan 120 km/s menyebabkan dia menegur kelakuan rakanya itu.

AminulRasyid semakin takut selepas sebuah motosikal yang mengejar mereka terjatuh.

Katanya, mereka dikejar oleh kereta peronda polis sebelum ditembak di Jalan Tarian 11/2.

"Saya dengar bunyi tembakan dan sesekali apabila saya pandang belakang, saya nampak percikan api datang dari arah kereta polis.

"Saya tidak dengar bunyi tembakan kerana siren polis bising. Saya agak kira-kira 12 tembakan dilepaskan," katanya.

Menurut saksi, tembakan tersebut turut mengenai tayar kereta menyebabkan kereta hampir terbabas, tetapi berjaya dikawal oleh AminulRasyid.

Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 42, sedang dibicarakan atas tuduhan menyebabkan kematian AminulRasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini, antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.

Jenain dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dia diwakili oleh peguam-peguam M.Athimulan, Salim Bashir dan Halim Asghar. Perbicaraan bersambung Rabu.
-mstar-

Tiada ulasan: