"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Syed Azman dakwa ditendang ketika pertahan Ustaz Hadi

FAIZ ABDULLAH
http://3.bp.blogspot.com/_lhjPFxuCgGg/SupDiPJWLQI/AAAAAAAAADs/-AMYbrBIrPA/s400/drsazman.pngKUALA LUMPUR: Polis didakwa bertindak ganas ke atas pemimpin dan peserta himpunan aman Bersih 2.0 9 Julai lalu termasuk ke atas Timbalan Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Syed Azman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, mendakwa turut dipukul dan ditendang oleh polis ketika cuba mempertahankan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang daripada ditangkap oleh pihak polis.


Wartawan Harakah mengikuti kumpulan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat dan Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0 termasuk Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Bersih 2.0, Dato’ Ambiga Sreenivasan; Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Ketika kepimpinan melalui sebuah terowong laluan bas dan pejalan kaki di KL Sentral, tiba-tiba pihak polis mengepung dengan menembak gas pemedih mata di depan kumpulan kepimpinan dan juga di belakang kumpulan.

Tindakan polis itu membuatkan keadaan menjadi kelam kabut apabila masing-masing bertempiaran lari kerana tidak tahan dengan kepedihan gas pemedih mata.

Wartawan Harakah bersama wartawan Suara Keadilan turut terperangkap di dalam terowong dengan gas pemedih mata yang dibedil pihak polis dalam ruang yang sempit.

Kesempatan ini digunakan oleh polis untuk memberkas kepimpinan utama termasuk Ustaz Hadi, Ambiga dan Tian Chua.

Menurut Syed Azman ketika beliau cuba mempertahankan Ustaz Hadi daripada ditangkap itulah beliau dipukul dan terjatuh dan seterusnya tengkuk dan lutut beliau ditendang oleh polis berpakaian preman.

“Pihak polis tiba-tiba melepaskan gas pemedih mata di hadapan kami. Ketika itulah mereka memberkas Abdul Hadi, Ambiga dan Tian Chua. Saya cuba menghalang Abdul Hadi daripada ditangkap tetapi saya juga turut dipukul oleh polis berpakaian preman.

“Selepas itu dalam kekecohan itu saya turut terjatuh dan tengkuk, leher dan kaki saya turut ditendang oleh pihak polis berpakaian preman. Ini tindakan yang amat kejam.

Pada mulanya saya, Kamarudin dan Nurul Izzah juga ditangkap oleh polis berpakaian biasa tetapi oleh kerana polis tidak tahan dengan kepedihan gas pemedih mata di terowong tersebut, maka polis sendiri terpaksa lari meninggalkan kami,” ujar Syed Azman sambil mengesat darah ditengkuk beliau.

Akibatnya Syed Azman cedera di bahagian tengkuk, leher dan lutut mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta. Terdapat kesan darah pada baju beliau. Turut tercedera ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang terkena tembakan gas pemedih mata di kepala beliau. Beliau menerima enam jahitan di kepala.

Sementara itu Kamarudin turut mengecam tindakan pihak polis yang melepaskan gas pemedih mata di dalam terowong termasuk di hadapan kepimpinan dan penyokong dan di belakang juga.

“Mereka melepaskan tembakan gas pemedih mata di belakang kami dahulu dan selepas itu di hadapan. Ini membuatkan ratusan pemimpin dan penyokong termasuk orang awam turut terperangkap di dalam terowong.

“Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab daripada pihak polis dan apa tujuan mereka memerangkap kami dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata di depan dan di belakang orang ramai di dalam terowong,” kata Kamarudin sambil membasuh mata dengan air mineral kerana kepedihan mata.

Anwar juga dipapah oleh penyokong beliau akibat kesukaran bernafas gas pemedih mata sementara pengawal peribadi beliau pula cedera di pipi sebelah kiri akibat terkena tembakan peluru.

Tiada ulasan: