"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Minta beras daripada Adun PAS

SHIRZAD LIFEBOAT

“AJI, minta maaf, Aji, ganggu Aji tengah Gharib (Maghrib). Saya serba saloh (salah), Aji.” “Dah mari hal apa benda?”


Dengan muka sayu, orang tua, barangkali dalam usia lewat 50-an, bermotosikal usang, dengan seplastik, mungkin ada 10-12 ikan selayang kecil, di atas raga motosikalnya, menyeluk saku dan membuka dompetnya lalu menjawab, “Saya... Saya dok (tak) mahu pitis (duit), Haji. Pitis ada lagi, empat, lima, enam riyal (Ringgit), tapi anak nak pergi sekolah esok, Ji. Saya tak mahu pitis, Haji. Saya nak minta tolong.

Saya nak balik ni. Anak saya ramai. Beras tak ada, Haji, Saya nak minta beras dengan, Aji.” Tidak. Dialog di atas bukan satu rekaan.
Tidak. Dialog di atas bukan berlaku 40 tahun lalu ketika negeri Terengganu Darul Iman masih lagi belum menerima wang royalti minyak daripada Petronas.

Tetapi ia berlaku di zaman ada pemimpin Umno yang mampu dan tergamak membelanjakan wang hampir setengah juta ringgit hanya untuk majlis pertunangan anaknya, atau ada pemimpin Umno yang sanggup membayar RM17 juta untuk sebuah kereta Bugatti Veyronn atau membelikan anaknya sebuah kereta Porsche.

Itupun sekadar memberikan beberapa contoh.

Sementara pemimpin Umno tidak kuring gusi mempermodalkan kononnya berjuang untuk rakyat, membasmi kemiskinan rakyat, mempertingkatkan taraf hidup rakyat, dan terbaru berslogankan ‘Rakyat Didahulukan’, transformasi kekayaan dan kemewahan yang dinikmati mereka bermula dari sejak menceburi Umno sebagai ahli biasa sehinggalah menjadi anggota Kabinet adalah fenomenal, namun bagi orang tua, yang memintah belas ihsan sedikit beras agar anak-anaknya tidak tidur dalam kebuluran, dari Kampung Tualang, Manir, Terengganu yang telah menemui Ahli Parlimen Kuala Terengganu, juga Adun (PAS) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, segala kata-kata manis pemimpin kerajaan Umno- BN hanyalah tidak lebih daripada ‘menaman tebu di tepi bibir.

Sejak ia dilahirkan, mungkin setahun dua sebelum Merdeka, sehinggalah Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap tentang Wawasan 2020, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Koridor Ekonominya dan kini Najib Razak dengan Transformasi Ekonomi dan entah apa-apa lagi, orang tua tersebut tidak melihat anjakan ekonomi di kawasan Manir, yang walaupun boleh diibaratkan sepenanak nasi dari bandar raya Kuala Terengganu, boleh dikatakan hampir tiada sama sekali.

Membandingkan kedaifannya dengan kekayaan pemimpin Umno samalah ibarat membandingkan harga 10-12 ekor ikan selayang untuk mengisi perut sekeluarga dengan juadah daging lembu wagyu dan bisque (sup) udang kara untuk seorang jemputan majlis di hotel lima/enam bintang di Kuala Lumpur.

Malah sejak Merdeka sehinggalah hari ini transformasi ekonomi yang berlaku pada peringkat individu hanyalah terbatas kepada pemimpinpemimpin Umno di peringkat Bahagian ke atas dan mereka yang mempunyai hubungan erat dengan golongan pemimpin Umno yang dikatakan itu.

Tapi bagi pemimpin kecilkecilan Umno, ahli-ahli biasa Umno dan jutaan orang Melayu, cakap-cakap mengenai lonjakan ekonomi ini tidak lebih daripada merupakan satu escapisme dalam fesyen filem Bollywood yang memaparkan keluarga bangsawan dengan kehidupan ala-kayangan untuk sekadar hiburan ratusan juta rakyat miskin India yang tidak mungkin mampu menikmati hatta 10 peratus kehidupan sedemikian.

Namun, Terengganu bukannya Bollywood. Bukan juga seluruh India. Terengganu boleh menjadi sehebat Maharashtra dan Kuala Terengganu boleh menjadi segemilang Mumbai. Ia tidak sepatutnya tersumpah menjadi mimpi selama-lamanya.

Malangnya, itu tidak berlaku. Bagaikan ‘ulek mayang diulek’ rakyat Terengganu, dari orang tua dalam sedutan di atas sehinggalah kepada kebanyakan anggota kelas kerja, sentiasa diulit mimpi.

“We have the ‘ming’ (means), we have the dreams, but where is the drive?”, komen seorang anak muda Terengganu yang baru memulakan alam pekerjaan selaku pelatih pengurus dana di Kuala Lumpur. Memang menghairankan.

Nampaknya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Perbadanan Memajukan Iktisan Negeri Terengganu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan lembaga serta badan berkanun itu dan ini hasil daripada minda pemimpin kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pimpinan Umno seolaholah wujud untuk matlamat bukan-ekonomi.

Kalau melihatkan daripada ‘misi dan visi’ badan-badan ini, bukan main lagi – hari ini bagi taklimat tentang projek, besok buat sidang media, lusa rakyat dan boleh jadi kaya. Tapi setelah puluhan tahun berlalu, habuk pun tarak.

Namun, kita tidak boleh 100 peratus menyalahkan mereka, kecuali beberapa kerat pemimpin Umno-BN (terdahulu) , boleh dikatakan hampir kesemuanya gagal melihat ekonomi dari perspektif rakyat dan dalam sebutan pengagihan sumber kepada setiap rakyat. Apa yang dititikberatkan ialah sedikit pembangunan infranstruktur bagi menunjukkan betapa prihatinya Umno-BN kepada rakyat tetapi sebahagian besarnya pembangunan dari segi bangunan.

Projek-projek bangunan dan sektor pembuatan adalah penting kepada minda pemimpin Umno- BN. Ia kerana inilah satu-satu cara di mana pemimpin Umno dan mereka yang bersekongkol selaku kontraktor dan sebagainya mengalami transformasi besar – daripada Proton Saga ke Mercedes mata bulat/mata belalang, daripada nasi dagang berikan tongkol sebagai makanan kegemaran kepada bisque udang kara, dan sebagainya.

Beberapa bulan lalu Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan Projek Kuala Terengganu City Center dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM5 bilion dengan cerita sampingan menggadakan pelancongan RM2 bilion dan mewujudkan lebih 82,000 peluang pekerjaan.

Benarkah? RM5 bilion merupakan satu jumlah wang yang besar. Apakah dengan siapnya projek ini kelas dengan unjuran pertumbuhan ekonomi melebihi kadar 7.0 peratus, sebagaimana yang disebut oleh Ahmad, maka tidak ada lagi insan seperti orang tua dari Manir yang membeli 10-12 ekor ikan selayang dan meminta belas ihsan rakil rakyat untuk mendapatkan secupak beras?

Bukankah itu yang dijanjikan oleh Umno-BN hampir 55 tahun yang silam? Jika apa yang dijanjikan oleh Umno-BN untuk rakyat dikotakan, sudah tentu peristiwa pada suatu Mahgrib, pada alaf ke-21 itu, tidak akan dialami oleh Mohd Abdul Wahid walaupun setelah menjadi Adun Wakaf Mempelam selama lima penggal.

“Enam penggal Wang Mohktar jadi MB, 1974 sampai 1999, patut hal cam (macam) ni dok patok (tak patut) berlaku,” komen pelatih pengurus dana berkenaan.

Namun itulah, Umno – United Malay National Organization.

Tiada ulasan: