"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas ikut jejak anak peluk Islam pada majlis Qurban Perdana bersama mualaf

Bernama
KUALA LUMPUR: “Kalau bukan hari ini, bila lagi saya akan peluk Islam,” kata Wong Lan Eng yang memeluk Islam pada majlis Qurban Perdana bersama mualaf hari ini.

Wanita berusia 74 tahun yang merupakan ibu kepada bekas pelakon dan model itu memeluk Islam sambil dibimbing anak lelakinya, Muhamad Johan Haiqal Abdullah, 37, yang disaksikan Kamarudin Abdullah.

Penganut agama Buddha itu mendapat hidayah memeluk Islam, apabila melihat tiga anaknya menjalani kehidupan sebagai umat Islam yang taat kepada agama.

“Walaupun anak-anak saya dan cucu beragama Islam, mereka tetap menghormati saya. Jadi, itulah perkara utama saya memilih Islam,” katanya kepada Bernama.

Bagi Saifuddin Abdullah, 45, yang pertama kali menghadiri sambutan Aidiladha tahun ini, beliau teruja dapat merasai erti pengorbanan sebenar untuk umat Islam.

Pekerja swasta berasal dari Kuala Lumpur itu tidak dapat meraikan Aidiladha sebelum ini disebabkan kekangan kerja.

“Walaupun lebih 20 tahun memeluk Islam, inilah pertama kali saya dapat menyambut Aidiladha,” kata bapa beranak tiga itu.

Sementara itu, pendakwah bebas, Danial Hafizan Christopher, 40, berharap majlis tersebut akan menjadi platform kepada mereka yang baharu memeluk Islam untuk bersama mendalami ajaran Islam.

Beliau yang juga pengurus Persatuan Muallaf Network sentiasa sedia membantu saudara baharu.

“Persatuan ini sentiasa bergerak di seluruh negara mencari dan membantu saudara baharu agar tidak terpinggir selepas memeluk Islam,” katanya.

Tiada ulasan: