"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak lagenda petinju Muhammad Ali Ditahan Kerana Beragama Islam


WASHINGTON DC - Anak lelaki legenda tinju Muhammad Ali ditahan untuk disoal siasat selama dua jam di sebuah lapangan terbang Florida sebaik sahaja pulang daripada Jamaica gara-gara namanya seperti nama orang Arab, lapor media Amerika Syarikat (AS).

Muhammad Ali Jr., 44 tahun, yang dilahirkan di Philadelphia dan mempunyai pasport AS, ketika itu membuat perjalanan bersama ibunya, Khalilah Camacho-Ali, isteri kedua ikon sukan itu, kata rakannya dan peguam Chris Mancini kepada Louisville Courier-Journal.

Mancini memberitahu akhbar itu bahawa kedua-dua pasangan ibu dan anak itu ditahan untuk disoal siasat di Lapangan Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale pada 7 Februari kerana nama mereka seperti nama orang Arab.

Camacho-Ali bagaimanapun dibebaskan setelah beliau menunjukkan ejen-ejen Kastam AS gambar beliau bersama bekas suaminya, Allahyarham Muhammad Ali.

Ali Jr. bagaimanapun tidak mempunyai gambar seperti itu – dan menurut Mancini, ditahan hampir dua jam dan berulang kali ditanya: “Dari mana anda dapat nama anda?” dan “Adakah anda Muslim?”

Apabila beliau berkata bahawa beliau, seperti bapanya, beragama Islam, para ejen bertanya lebih banyak soalan.

“Kepada keluarga Ali, ternyata ini secara langsung ada kaitan dengan usaha Encik Trump untuk mengharamkan orang Muslim dari AS,” kata Mancini kepada Courier-Journal.

Beliau merujuk kepada arahan eksekutif Presiden Donald Trump pada akhir Januari yang mengharamkan rakyat dari tujuh buah negara majoriti Muslim daripada memasuki AS selama 90 hari.

Arahan sekatan imigresen itu sudahpun dihentikan oleh sebuah mahkamah persekutuan AS.

Mancini berkata, beliau dan keluarga Ali sedang cuba menyelidik berapa ramai lagi orang yang ditahan untuk disoal siasat sedemikian rupa, dan sedang menimbangkan mengemukakan tuntutan mahkamah federal.

Para pegawai Lapangan Terbang dan Kastam tidak menjawab pertanyaan akhbar itu tentang kes tersebut.

Muhammad Ali, antara wira sukan paling ikonik dalam abad ke-20, meninggal dunia setelah bertarung dengan Penyakit Parkinson pada 3 Jun 2016. Beliau ketika itu berusia 74 tahun.

Allahyarham Muhammad Ali bukan sahaja disanjung atas kejayaannya merangkul tiga gelaran dunia heavyweight, tetapi juga atas usahanya memperjuangkan hak asasi awam.

Pada 1964, Allahyarham menukar namanya kepada Muhammad Ali daripada nama lahirnya iaitu Cassius Clay setelah memeluk agama Islam.

Allahyarham, yang berasal dari Louisville, Kentucky, berkahwin sebanyak empat kali dan mempunyai tujuh anak perempuan dan dua anak lelaki. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Tiada ulasan: